Macam silap taktik tu Abah Din

 Mohsin Abdullah

 -

Muhyiddin Yassin mahu masyarakat Cina menyokong Bersatu yang dipimpinnya. Namun beliau tahu orang Cina tidak suka PAS, pasangan Bersatu dalam Perikatan Nasional. Bukan setakat tidak suka, rata-rata masyarakat Cina tidak percaya, bimbang, dan takut akan PAS (saya tekankan “rata-rata” atau dalam lain perkataan “secara am” orang Cina tidak gemar PAS walaupun dalam parti itu ada satu sayap yang dianggotai orang bukan Islam). Tetapi Muhyiddin perlukan PAS untuk membantu partinya melawan Umno untuk menjadi jagoan orang Melayu-Islam. Ini kita semua tahu.

Kesimpulannya Muhyiddin mahu sokongan orang Cina dan mahu sokongan orang PAS. Dua-dua beliau mahu demi kelangsungan politik. Lantas Muhyiddin cuba mententeram dan menenangkan kegusaran orang Cina terhadap PAS dengan menggambarkan kepada orang Cina bahawa PAS tidaklah se-ekstrem seperti yang mereka fikirkan. Strateginya pada hemat saya ialah tenangkan orang Cina dan pada masa yang sama “make PAS look good”.

Lalu berkatalah Muhyiddin pada satu majlis 

makan malam bersama masyarakat Cina di Johor tempoh hari: ”Ada orang Cina takut PAS. Takut cerita potong potong potong”. Tetapi katanya, semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, ada tiga menteri daripada PAS. Begitu juga kerajaan sekarang ada tiga Menteri PAS dan beberapa Timbalan Menteri PAS.

“Ada dengar dia (PAS) cerita potong potong? Tak ada lagi cerita. Pasal bila PAS sudah jadi kerajaan dia faham dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada Islam, ada Buddhist, ada Hindu, dia kena jaga.”

Jelas kata-kata itu bertujuan mereda atau kalau boleh menghapuskan kebimbangan orang Cina terhadap PAS dan kerjasama Bersatu dengan parti itu. “Potong potong, potong” yang beliau katakan itu merujuk kebimbangan orang Cina terhadap hudud yang PAS (khususnya pada masa lalu) desak dilaksanakan.

Adakah kata-kata Muhyiddin itu berkesan? Adakah orang Cina sudah boleh menerima PAS setelah mendengar “penjelasan” Muhyiddin? Lihat reaksi mereka menerusi ruangan komen di portal-portal berita yang mengiringi laporan ucapan Muhyiddin itu.

Ada yang kata memang sudah tidak dengar PAS kata “potong potong” tetapi parti itu pada pandangan mereka tetap “ekstrem”. Mereka memberi contoh tindakan dan kenyataan pemimpin PAS berhubung penjualan arak dan judi yang menurut mereka “dipaksa” ke atas orang bukan Islam.

Lebih membimbangkan mereka ialah pendirian PAS mengenai pertukaran agama terutama membabitkan kanak kanak bawah umur. Bagi PAS kanak-kanak boleh memeluk Islam dengan izin hanya salah seorang ibu bapa mereka. Ibu ATAU bapa boleh, kata PAS. Menurut Perlembagaan izin ibu DAN bapa diperlukan untuk pertukaran agama dilaksanakan.

Kata orang Cina bukan sekadar hudud yang mereka bimbangkan. Langkah-langkah yang pada pandangan mereka menuju ke arah ‘mentalibankan’ negara amat menakutkan.

Seorang kawan saya keturunan Cina berkata hudud dan segala bentuk pentadbiran yang pada kaca mata PAS “cara Islam” akan dilaksanakan apabila PAS berkuasa mutlak atau parti itu menguasai gabungan politik yang memerintah negara. Kata beliau, orang Cina bukan antiislam tetapi interpretasi PAS mengenai Islam “menakutkan”.

Apa yang dapat difahami ialah masyarakat Cina percaya ada banyak cara untuk PAS melaksanakan impian dan perancangan parti itu – “there’s more than one way to skin a cat”.

Bermacam pandangan lagi yang mereka utarakan. Kesimpulannya, kata-kata Muhyiddin untuk mententeramkan masyarakat Cina supaya menerima PAS, tidak berhasil.

Pada masa yang sama, kata-kata Muhyiddin itu memberi kesan kepada PAS sendiri. Teliti semula apa yang beliau katakan: “Ada dengar dia cerita potong potong? Tak ada lagi cerita. Pasal bila dia (PAS) sudah jadi kerajaan dia faham, dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada agama Islam, ada Buddhist, ada Hindu dia kena jaga”.

Adakah ini bermaksud semasa PAS tidak duduk dalam kerajaan, parti itu tidak faham, tidak ambil kira ada Cina, Melayu dan India? Adakah ertinya semasa di luar kerajaan PAS tidak tahu ada agama Islam, Buddhist, Hindu yang mereka kena jaga?

Perlu ditanya juga adakah kenyataan Muhyiddin itu boleh membawa erti apabila PAS sudah selesa duduk dalam kerajaan, segala aspirasi termasuk pendirian parti itu dalam pelaksanaan hudud sudah diketepi malah dilupakan?

Secara kebetulan (atau sebaliknya) PAS pun sudah lama tidak berbicara mengenai hudud dan juga RUU 355 yang dahulunya tidak henti-henti dilaungkan.

Beberapa hari lalu pula Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man apabila ditanya media mengenai kata-kata Muhyiddin (dan juga Dominic Lau, Presiden Gerakan, yang bersama PAS duduk dalam Perikatan Nasional) mengelak menyentuh isu hudud.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air meminta media menumpukan soalan kepada isu air dan tandas sesuai dengan tujuan lawatannya ke Kelantan selaku menteri Kabinet.

Tuan Ibrahim dipetik media berkata: “Saya fikir kita selesaikan isu air dulu. Isu yang kita bawa kali ini adalah isu yang walaupun orang sebut tandas, dari segi impak kesihatan ia sangat besar. Sebab itu kalau boleh kita fokus yang ini dulu.”

Benar isu air dan tandas mempunyai impak kesihatan yang besar. Namun, apa yang juga nyata ialah Tuan Ibrahim tidak mahu dilihat menempelak Muhyiddin, walaupun kenyataan bekas Perdana Menteri itu songsang dengan pendirian PAS.

Akhirnya, dalam usaha Muhyiddin mahu dekatkan orang Cina dengan PAS, beliau secara sedar atau tidak menjauhkan Melayu sendiri daripada PAS, khususnya penyokong tegar perjuangan parti itu.

Apa pun, yang ingin diperkatakan ialah ucapan Muhyiddin ketika berkempen untuk undi Cina tempoh hari bagai langkah sumbang. Ia tidak dapat memikat hati orang Cina dan pada masa yang sama melukai hati PAS dan menyukarkan parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu.

Teringat peribahasa Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Jangan jadi macam itu sudah…

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: