PEGAWAI NAJIB MAKI WARTAWAN



 

Seorang pegawai yang mengiringi rombongan bekas perdana menteri Najib Razak didakwa memaki wartawan yang membuat liputan berhubung kempen BN sempena pilihan raya negeri Johor.

Kejadian dikatakan berlaku dua hari lalu ketika Najib mengiringi calon Tangkak dari BN/MCA Ong Chee Siang yang berkempen di Pusat Penjaja Tangkak Jaya.

Seorang saksi memberitahu Malaysiakini bahawa ketika Najib dan Ong sedang menjamu selera, sepasukan anggota pegawai dari jabatan kesihatan telah cuba mendekati rombongan Najib.

Seorang anggota rombongan yang memakai baju hijau muda menghampiri pegawai tersebut dan wartawan yang berada di situ mula merakamkan gambar.

“Apabila (lelaki berbaju hijau itu) menyedari seseorang sedang mengambil gambar, dia menghampiri seorang wanita yang mempunyai bukti bahawa dia adalah petugas media, dan memintanya memadamkan gambar yang diambil itu.

"Saya dengar wanita itu enggan berbuat demikian dan sebaliknya bertanyakan identiti individu tersebut. (Individu berbaju hijau itu) menjawab bahawa dia adalah pegawai Najib dan berulang kali berkata 'Najib bos saya'.

Description: https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/9b1b566810f83fd7cd572f0bf45aa442.jpg

"Terjadi pertikaman lidah antara mereka dan lelaki itu menggunakan (bahasa kesat) iaitu F-word terhadap wanita berkenaan. Malah, dia mendekatkan dirinya ke arah wanita itu. Dia sangat bongkak.

"Wartawan itu meminta lelaki tersebut supaya menjarakkan diri. Tetapi lelaki itu berulang kali membalas dengan F-word. (Pertengkaran) berakhir dengan kedua-duanya membuat panggilan telefon," kata saksi kejadian.

Saksi turut berkata dia berada di lokasi untuk mengambil gambar tetapi berhenti berbuat demikian kerana ketakutan selepas melihat keberangan lelaki berbaju hijau itu.

Katanya, dia kemudian mendekati pegawai jabatan kesihatan di kawasan tersebut dan mendapati mereka cuba mengeluarkan denda kepada Najib atas kesalahan yang dilakukan pada 26 Feb.

“Lelaki berbaju hijau itu tidak patut membuat kecoh dengan menghalang wartawan itu dan memakinya.

"Jika Najib melanggar protokol Covid-19, mengapa melindunginya? Ini sudah melampau kerana menggunakan perkataan sedemikian (F-word) kepada media.