Amanah menggesa Abdul Hadi Awang menjelaskan sama ada PAS masih meletakkan hudud dalam agenda mereka atau sebaliknya.
Anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil, berkata pendirian sebenar PAS wajar dinyatakan ekoran dakwaan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan media semalam.
"Dakwaan dibuat Muhyiddin itu adalah serius," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Semalam Muhyiddin memberitahu bagaimana PAS kini tidak lagi bercakap mengenai isu "potong-potong" sepanjang tempoh dia menjadi perdana menteri pada 2020.
Kenyataan itu dibuat Muhyiddin pada majlis makan malam bersama masyarakat Cina di Johor Bahru menjelang pilihan raya neger itu hujung minggu ini.
Presiden Bersatu itu berkata demikian dalam usahanya meredakan kebimbangan komuniti Cina kepada PAS dan sekali gus PN.
"Ketika saya jadi perdana menteri, dalam parti saya dulu pun ada PAS. Tiga menteri PAS. Sekarang pun tiga menteri PAS. Ada beberapa timbalan menteri PAS.
"Ada dengar dia cerita ‘potong-potong’? Tak ada lagi cerita. Pasal apabila dia (PAS) sudah jadi kerajaan, dia faham... dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada (agama) Islam, ada Buddha, ada Hindu, dia kena jaga," katanya.
Hudud bukan zombi
Gerakan - yang turut menjadi parti komponen PN - juga menyatakan hal yang sama apabila mendakwa PAS langsung tidak pernah membangkitkan isu hudud.
Presidennya Dominic Lau berkata masyarakat Cina tidak perlu lagi takut terhadap PAS.
"Sudah terbukti... Kita lihat semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan, dia menjemput ahli parlimen PAS menjadi menteri dan jelas mereka tidak pernah membangkitkan apa-apa tentang hudud," katanya.
Faiz berkata sebelum ini beberapa pemimpin utama PAS menegaskan bahawa agenda melaksanakan hudud adalah 'nyawa' bagi parti itu. Antaranya tambah Faiz, Allahyarham Haron Din yang menyatakan hal tersebut pada Dis 2014.
"Adakah nyawa perjuangan PAS kini sudah tiada?" katanya.
Justeru Faiz yang juga Adun Permatang Pasir di Pulau Pinang mendesak Abdul Hadi juga menjelaskan kepada rakyat apakah kompas politik PAS ketika ini.
Katanya dengan apa yang dapat dilihat orang ramai ketika ini PAS ternyata sudah mengubah agenda perjuangan mereka dan Islam bukan lagi dasar yang menjadi panduan gerakan parti berkenaan.
Keadaan itu, katanya, berlaku selepas PAS berkawan dengan Umno dan Bersatu. Malah tambah Faiz sejak menjadi kerajaan tiada satu pun dasar Islam yang dijadikan agenda negara sama ada melalui kerajaan Muhyiddin atau Ismail Sabri Yaakob.
"Jangan jadi seperti Muafakat Nasional yang dikatakan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang nampak tidak hidup tetapi tidak mati. Hudud bukan zombi" katanya.