Politik sangap rasuah
Rasuah dan politik. Ada sebuah buku baru mengenai rasuah dan politik oleh ilmuan sohor, Prof M Kamal Hassan. Ia muncul lewat 2021 dengan judul “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation”. Isinya bagus. Yang saya tak faham mengapa Prof Kamal memilih untuk menulis dalam Bahasa Inggeris? Siapa yang akan baca? Gelembung Bangsar? Gelembung Bangi? Gelembung ISTAC? Gelembung mana yang disasarkan?
Saya telah menulis puluh, mungkin ratus tulisan eceran mengenai rasuah dengan harapan orang Melayu (baca: parti politik Melayu) sedar dan reti kemudaratan korupsi. Saya harap tulisan itu, ada yang dalam bentuk esei, dan ada pula dalam bentuk kreatif seakan cerpen; akan menerpa ke dalam jiwa dan hati orang Melayu, agar mereka menolak rasuah dan korupsi. Itu sebab saya sampai mati tak akan dapat apa-apa pengiktirafan di negara ini sebab orang memang pun tak suka kita berleter tentang rasuah dan korupsi. Bahkan ada orang Melayu memang senang dengan korupsi.
Sewaktu saya menulis memarahi rasuah selepas Langkah Sheraton, ramai yang marahkan saya. Wah pejuang-pejuang Melayu-Islam berkokok sana sini merungut dan mengecam saya kerana menyanggah abah kesayangan mereka. Tak ada yang ternampak pengkhianatan misalnya bahana korupsi, dan juga ia merupakan isu moral yang sangat besar.
Sebelum Pakatan Harapan berkuasa, tatkala Umno sedang bergelumang dengan 1MDB pun, saya menulis mengenai rasuah. Ketika PH sedang berleluasa, dan sudah tidak berkuasa pun saya mengarang perihal rasuah dan korupsi ini. Jadi saya tak faham mengapa profesor besar kita boleh tergamak menulis sebuah buku tentang perangai dan krisis moral orang Melayu (baca: parti Melayu) yang melahap dan jelirakan rasuah, dalam Bahasa Inggeris. Siapakah sasaran beliau?
Yang harus dijadikan sasaran buku “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” ini ialah orang kampung Felda yang tanpa fikir panjang menjulang dan menyambut pesalah rasuah “beyond reasonable doubt”. Pesalah ini mendapat jolokan ‘kemaluan negara’ oleh Yang Arif para hakim. Saya difahamkan orang kampung di Johor ada yang tergamak menelefon markas Pejuang dan bertanyakan kaki tangan di situ; “Berapa duit boleh beri untuk kami mengundi calon Pejuang?” Prof Kamal tahukah hal ini?
Yang harus dijadikan sasaran buku “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” ini ialah anak-anak muda 18 tahun di pedalaman Johor yang tanpa segan silu melahapkan wang seratus dua ratus ringgit yang mana tumbuk rusuk ini rasuah “beyond reasonable doubt” ketika kempen PRN Johor. Prof Kamal tahukah hal ini?
Yang harus dijadikan sasaran buku “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” ini ialah pemimpin Melayu di peringkat kampung seperti penghulu dan pengerusi dan jawatankuasa kampung yang selalu nganga dan sembur-sembur duit seribu dua macam atar di baju masing-masing “beyond reasonable doubt”. Prof Kamal tahukah hal ini?
Yang harus dijadikan sasaran buku “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” ini ialah jemaah masjid dan surau yang basah kencing soal rasuah konon ia ‘hadiah’, konon ia ‘pemberian’ dan sanggup menerima umpan umrah padahal ia korupsi “beyond reasonable doubt”. Prof Kamal tahukah hal ini?
M Kamal Hassan lahir di Pasir Mas, Kelantan. Beliau sepatutnya mensasarkan golongan agamawan dan golongan politikus Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu. Sasaran beliau bukan sarjana Georgetown University, Washington.
Kamal menulis buku ini sebagai satu wasiat untuk generasi mendatang; “as an old man who is appalled and disgusted with the corrupt politics of his ethnic group, this book is also my intellectual ‘wasiat’ (testament) to the younger generation of the educated elites of the Muslim community in Malaysia – the future leaders of the ummah – to play an active role towards the moral-ethical transformation of the Malay-Muslim community, because they too have the rasa malu (feeling of shame, loss of dignity and self respect in Malay culture) deep in their hearts.”
Kamal mensasarkan buku ini kepada pemimpin Melayu masa depan tetapi menulisnya dalam Bahasa Inggeris? Anak Melayu di sekolah tahfiz Johor hari ini tidak akan membaca buku “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation”. Anak Melayu di fakulti-fakulti pengajian Islam universiti tanahair, katakan Universiti Malaya, tidak akan membaca “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation”. Mahasiswa di Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Kebangsaan Malaysia tidak akan membaca buku “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation”. Sekarang PAS memerintah, pemimpin mereka tidak boleh bercakap Bahasa Inggeris di peringkat sejagat, maka mereka kerangkakan itu semua kononnya untuk memartabatkan Bahasa Melayu.
Orang terlupa untuk memartabatkan Bahasa Melayu – sebuah bahasa yang penuh rasa segan dan malu – maka orang Melayu tidak wajar mengangkat pemimpin tidak ada malu yang mendapat jolokan ‘kemaluan negara’.
Prof Kamal menulis begini dalam pembukaan buku “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation”, beliau menyebutkan; “the corrupt Malay-Muslim political culture, system and behaviour coupled with the widening disunity require urgent transformational measures. With the prospect of a more uncertain, pandemic-ridden, turbulent climate emergencies, and prolonged political crisis in the country and globally, the transformation has to take place at the most fundamental levels – the spiritual, moral and ethical consciousness of political leaders, cadres followers and supporters.”
Orang Pasir Mas mana yang akan faham dan reti apa yang ditulis oleh beliau dalam perenggan di atas? Atau pengundi Johor di Mersing retikah mesej di atas? Pesan atau wasiat termuat di dalam “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” yang memperihalkan bahawa sistem politik Melayu-Islam itulah puncanya. Sistem Melayu-Islam itu sudah hilang nilai tauhid dan ia korup, ia sangat bobrok dan busuk, ia bernanah dan hina-dina ke dasar-dasarnya.
Adakah pengundi Johor di Machap, di Austin, di Bukit Kepong, di Buloh Kasap akan faham bahawa sistem politik Melayu-Islam itu bergantung penuh dengan wang poket dan sogok seratus dua; beras dua tiga kampit; papan atau zink rumah sepuluh dua puluh keping, untuk mengundi calon yang menjarah duit negara, bersekongkol sekali dengan para penjawat awam. Bahawa cukai anak-anak pakcik dan makcik di Yong Peng, atau di Kluang dan Batu Pahat itu sebenarnya mengalir bertabur sahaja di tangan penyangak dan penyamun yang kemudian diratib ‘bos-bos-bos’. Bahawa itulah inti pati tulisan Prof Kamal dalam “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation”.
Bahawa ada orang Melayu dah tak ada segan silu. Tak reti malu menerima rasuah terang-terangan. Bahawa orang Melayu tersebut sudah tidak tahu beza duit bawah meja dengan wang zakat. Bahawa orang Melayu tersebut sudah tidak kenal halal haram. Bahawa ini semua krisis moral. Bahawa petikan-petikan daripada Sultan Perak yang dikutip oleh Prof Kamal itu seikhlasnya datang daripada baginda semata, dan bahawa 1MDB itu kecelakaan besar buat bangsa Malaysia seluruhnya.
Yang saya tak faham mengapa Prof Kamal memilih untuk menulis dalam bahasa Inggeris? Siapa yang akan baca? Pengundi Johor yang akan turun mengundi parti politik Melayu yang diumpat olehnya dalam “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” itu tak akan membacanya. Buku ini terjual di Kinokuniya – Melayu Johor mana yang akan baca? Ada pengundi Johor sedang sangap wang seratus dua selepas ratib dan julang ‘bos-bos-bos’. Prof Kamal tahukah hal ini?