JANGAN DENGAR BISIKAN HADI- IA HANYA MEMENTINGKAN DIRI DAN MAKAN GAJI

 

Panas! Hadi kata penyatuan Umno, Pas tidak lengkap tanpa Bersatu


Panas! Hadi kata penyatuan Umno, Pas tidak lengkap tanpa Bersatu


UMNO dan Pas tidak akan lengkap serta mencapai tujuan asal perpaduan bangsa dan agama tanpa kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan Pas, malahan Bersatu yang merupakan parti besar.

“Hari ini kita di Malaysia berjaya menyatukan umat melalui pendekatan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). Permulaannya dengan perpaduan Islam dan Melayu serta bumiputera dengan gagasan MN.

“Seterusnya mengumpulkan tiga buah parti Melayu terbesar bersama rakan-rakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyempurnakan usaha menukar kerajaan secara demokrasi berparlimen.

“Kemudian bergerak ke arah penyelesaian masyarakat majmuk, maka mestilah diikuti oleh penyertaan daripada kalangan parti bukan Melayu dan bukan Islam dengan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas yang dikongsi di Facebook beliau pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keanggotaan MN tidak terhad kepada UMNO dan Pas ataupun Bersatu sahaja kerana Malaysia bukan hanya merangkumi kelompok Melayu dan Islam.

Jelasnya, ia mestilah juga meliputi seluruh masyarakat majmuk termasuk golongan bukan Islam dan bukan Melayu.

Selain itu, mengulas mengenai punca perpecahan antara tiga parti itu, beliau mengharapkan agar orang ramai dapat mengenali golongan perosak perpaduan umat dan tidak terpengaruh dengannya.

Menurutnya, golongan tersebut perlu disingkirkan dalam masyarakat kerana perpaduan umat wajib diutamakan lebih daripada agenda sampingan yang lain.

“Kita menyaksikan selepas kejayaan mengambil alih Putrajaya (kerajaan Persekutuan), betapa peranan yang dipergunakan oleh pihak tertentu yang gilakan kuasa untuk menggagalkan perpaduan umat.

“Pada masa sama, golongan tersebut berusaha untuk memecahbelahkannya dengan provokasi yang dicipta atau diolah mengikut perancangannya yang jahat terhadap umat. Perkara ini dilakukan semata-mata demi memenuhi kehendak dan kepentingan peribadi,” katanya.

Sebagai contoh, kata beliau, persetujuan telah dibuat untuk menghimpunkan ketiga-tiga parti terbesar Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu.

Jelasnya, penyertaan Bersatu ke dalam MN adalah untuk melayari perubahan dalam negara secara bersama, tetapi malangnya ia tidak ditepati dan tidak ditunaikan.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, golongan tersebut turut mempergunakan peranan media sebagai tentera upahan dengan memutar belit berita supaya terpesong dan berlaku salah faham.

Katanya, mereka juga mencipta berita palsu supaya bebas daripada sebarang tindakan undang-undang ataupun mengubah kepada memenuhi agenda peribadi dan kelompok, bukan lagi masyarakat majmuk serta perpaduan umat.

Tambah Abdul Hadi, golongan tersebut dalam Islam dikenakan hukuman tidak sah memegang apa-apa jawatan yang penting dan menjadi saksi dalam semua urusan yang penting.

“Golongan yang membuat kacau daun ini tidaklah besar jumlahnya, tetapi suaranya kuat sehingga boleh memekakkan telinga dan mengaburkan mata sebahagian daripada umat yang mahukan perpaduan dilaksanakan dengan berjaya.

“Mereka mendapat dukungan musuh dari dalam dan luar yang sentiasa menolak kebaikan dan menarik keburukan terhadap kita semua,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.


No comments: