Muafakat Nasional sudah ‘mati’, kata Ramasamy


P Ramasamy berkata, PAS dan Umno sudah pulang ke kedudukan ‘asal’ sebelum kerjasama politik dimeterai.

PETALING JAYA: Kerjasama politik Umno-PAS, Muafakat Nasional, sudah “mati”, begitu kata seorang pemimpin DAP menjelang PRN Melaka yang akan menyaksikan pertembungan antara dua parti itu di tujuh kerusi.

P Ramasamy menulis di Facebook bahawa senario politik yang dahulunya menyatukan PAS dan Umno sudah tidak ada lagi.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa partinya tidak berhasrat meninggalkan MN meskipun akan bertembung Umno pada 20 Nov.

“Umno menunjukkan pemulihan politik yang luar biasa (sejak PRU14) hinggakan ia tidak lagi perlukan PAS mahupun MN,” katanya.

Beliau berkata Umno tidak berpuas hati sejak PAS menyertai Perikatan Nasional pimpinan Bersatu.

“Kedua-dua parti itu sudah pulang ke ‘asal’. Mereka kembali ke kedudukan sebelum kerjasama politik dimeterai.”

Ramasamy sempat membidas pemimpin PAS, menuduh mereka mendahulukan kepentingan politik sebelum idealisme.

“Dalam dua tahun kebelakangan ini, ekoran penglibatan mereka dalam kerajaan, retorik agamanya kelihatan lembut.

“Pemimpinnya dalam kerajaan persekutuan tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang, dan di sebalik retorik, mereka berkelakuan seperti penumpang.”

Ramasamy berkata peranan PAS dalam kerajaan persekutuan mendedahkan kelemahan parti itu yang tidak kelihatan semasa ia menjadi pembangkang.