Sulaiman ditentang dua pencabar, pertahan DUN Lendu


By

 Nizam Zain

 -

 8 November 2021



Calon Barisan Nasional N.04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) bersama Calon Pakatan Harapan N.04 Lendu, Mohamad Asri Ibrahim (kanan) dan Calon Perikatan Nasional N.04 Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi (tengah) bergambar bersama selepas selesai proses penamaan calon yang ditandingi tiga penjuru pada hari penaman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka N.04 Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi N4 Lendu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Pertandingan itu disahkan selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lendu, Haidir Haron yang mengumumkan senarai calon bertanding di kerusi N4 Lendu pada PRN Melaka, kali ini.

Proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi di Dewan Kompleks Japerun Lendu disusuli tempoh bantahan kira-kira 30 minit.

Calon yang diumumkan ialah wakil PH-PKR Mohamad Asri Ibrahim; PN-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abdullah Mahadi dan BN-UMNO yang juga penyandang kerusi DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka.

Terdahulu, calon PH-PKR itu antara individu terawal tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 8.40 pagi disusuli calon PN-Bersatu (8.55 pagi) dan calon BN-UMNO (9 pagi).

Asri menghantar borang pencalonan kepada SPR pada jam 9.06 pagi disusuli Abdullah pada jam 9.10 pagi dan Sulaiman (9.15 pagi).

PRN Melaka pada 20 November ini diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, Sulaiman memenangi kerusi itu dengan majoriti 627 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRN Melaka adalah pilihan raya bagi penggal ke-15 diadakan sejak PH memenangi PRU14.

Pada PRU14, BN bertanding di semua 28 kerusi DUN tetapi hanya menang 13 kerusi, berbanding 21 kerusi yang dimenangi pada PRU13.

DAP bertanding lapan kerusi DUN dan menang semuanya manakala PKR bertanding tujuh kerusi tetapi menang tiga dan Amanah bertanding enam kerusi tetapi menang dua.

Bersatu yang ketika itu adalah komponen PH, bertanding tujuh kerusi tetapi menang dua. – MalaysiaGazette