Kenyataan Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas, Dr Najihatussalehah
Ahmad baru-baru ini yang cuba menyalahkan rakyat kerana gagal membantu Kerajaan
Perikatan Nasional dalam menangani wabak Covid 19 adalah tidak
bertanggungjawab.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Zaliha Mustafa,
kenyataan Najihatussalehah itu seolah-olah memperkecilkan pengorbanan rakyat
yang selama ini mematuhi setiap peraturan yang dikenakan kerajaan sejak
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga 3.0 bagi melandaikan keluk
jangkitan Covid 19, biar pun tidak menunjukkan sebarang hasil.
"PKP 1.0 - 3.0 menyaksikan rakyat mematuhi setiap peraturan
yang dikenakan walaupun mereka resah dengan peraturan yang tidak menentu dan
sering berubah-ubah.
"Hampir dua tahun tidak bersemuka dengan yang tersayang,
premis ditutup kerana dikategorikan perniagaan yang tidak essensial, berdepan
masalah penjagaan anak-anak kerana pusat penjagaan dan sekolah ditutup,
sehingga ada yang sanggup menjadi gelandangan kerana tidak mampu lagi menampung
sewa rumah dan macam-macam lagi," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Dr Zaliha, sebelum menyalahkan rakyat pemimpin Pas yang
berada dalam kerajaan PN perlu bermuhasabah. Adakah semua keputusan dan dasar
yang menyebabkan jangkitan Covid 19 berleluasa itu dibuat oleh rakyat atau pun
kerajaan?
"Keputusan rakyatkah apabila Pilihanraya Negeri Sabah
diadakan? Keputusan rakyatkah apabila kilang-kilang masih beroperasi walaupun
PKPD diumumkan dan dilaksanakan? Keputusan rakyatkah apabila pembelian vaksin
terlalu banyak protokol?
"Keputusan rakyatkah bila negara masih lembab dalam pemberian
vaksin kepada penerima?
"Trending #kerajaangagal
itu adalah luahan hati rakyat yang telah satu tahun tujuh bulan berhadapan
dengan pelbagai masalah kehidupan serta berdepan dengan ekosistem kehidupan
bercelaru. Mereka hilang punca pendapatan, hilang pekerjaan dan mata pencarian,
hingga terpaksa meminta ehsan dan pertolongan orang lain dengan mengangkat
bendera putih, seperti yang semua maklum," ujar Zaliha.
Menurut Pengerusi Biro Dasar, Strategi dan Latihan, Majlis
Pimpinan Wanita Pusat itu lagi, rentetan dari dasar kerajaan yang separuh masak
hari ini rakyat dibebani hutang bertimbun tambah, manakala banyak perniagaan
dan perusahaan terpaksa gulung tikar.
"Ini bukan cakap kosong tapi penemuan dari pelbagai kajian
termasuk kajian oleh Institut Penyelidikan dan pengurusan Kemiskinan (InsPeK)
Universiti Malaya Kelantan (UMK), mendapati hampir semua responden yang bekerja
sendiri hilang punca pendapatan.
"Mereka menyatakan wang simpanan pula susut sebanyak 65%,
peningkatan kos utiliti pula sebanyak 37.3% dan peningkatan hutang sebanyak
27.2% (Berita Harian Online 22hb Mei 2021).
"Tahukah pemimpin Pas kesihatan mental rakyat semakin parah?
Hari-hari kita dihidangkan berita kejadian membunuh diri. Talian psikososial
kerajaan dan NGO menerima ratusan ribu panggilan dan ia bukan panggilan palsu
tetapi meminta tolong, luahan perasaan, kesengsaraan mental dan emosi,
panggilan akibat didera pasangan dan pelbagai lagi
"Lebih parah apabila kerajaan yang sama-sama diterajui Pas
ini memperlekehkan sistem demokrasi dan Raja Berpelembagaan yang menjadi
pegangan kita rakyat Malaysia.
"Membiarkan Dewan tidak bersidang lebih dari enam bulan yang
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Mereka menolak untuk berbincang dan
berbahas tentang masalah rakyat dan negara di Parlimen dengan pelbagai alasan
dan ironinya sehingga mengenakan Ordinan Darurat untuk membenarkan tindakan
menggantung Parlimen dan rakyat masih bersabar," katanya.
Sehubungan itu, Dr Zaliha berharap pemimpin Pas turun padang untuk
menyaksikan sendiri penderitaan rakyat dan jangan bercakap seperti orang yang
duduk di atas kahyangan.
"Sebagai orang yang dikelilingi para ulama, hadis dan al
Quran sentiasa meniti dibibir, lihatlah kembali sejarah Rasul dan para sahabat.
Telaah kembali bagaimana Umar Abdul Aziz turun ke bawah mencari rakyat yang
susah, merasa tersangat bersalah apabila ada rakyatnya tidak makan dan memikul
sendiri gandum dari gudang kerajaan untuk diberikan kepada keluarga miskin
"Anologinya seperti orang yang sakit, mengakulah bila kita
tidak sihat dan ambil ubat untuk mengubatinya, barulah betul. Jangan terus
berada dalam “denial syndrome” dan membiarkan diri terus musnah. Dan lebih
dahsyat apabila sikap itu juga memusnahkan
orang lain," katanya lagi