Kluster menteri jadi power broker, jual parti, dakwa ahli MT Umno

 


Seorang anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno mendakwa kumpulan yang digelar kluster menteri ini membuat keputusan songsang dan menjadi power broker dan menjual parti.

Sehubungan itu, Datuk Dr Puad Zarkashi mengingatkan ahli Umno agar berdiri teguh dengan pimpinan dan parti mereka dan jangan terpengaruh dengan mereka.

“Orang kata Umno pecah. Umno dikatakan pecah bukan kerana pemilihan parti. Umno nampak pecah kerana ada yang menentang keputusan parti.

“Mereka sanggup jadi power broker, jual parti dan berunding tanpa restu parti. Puncanya, untuk kekal jawatan dan takut tindakan

“Terbaru MKT putus tarik sokongan kepada Perdana Menteri. Tetapi kluster Menteri pula buat keputusan songsang. Mereka sokong Perdana Menteri,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Menurut bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN itu, “Rakyat dijadikan alasan. Pandemik dijadikan alasan. Perpecahan Melayu dijadikan alasan. Dan peruntukan kawasan juga jadi alasan.”

Bagi beliau, Umno perlu tegas melaksanakan keputusan mereka jika mahu perkara ini berakhir.

“Tetapi apakah tidak ada titik noktah kepada gejala ini. Umno perlu tegas. Tinggal 10, sepulohlah. Tinggal 3, tigalah,” kata beliau merujuk kepada dakwaan kononnya hanya beberapa orang sahaja pemimpin Umno yang mempertahankan keputusan parti itu yang memutuskan keluar dari menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Bagi beliau Umno tidak akan berpecah jika melaksanakan keputusan itu.

“Umno Sabah contoh terbaik. 21 Ketua Bahagian lari lintang pukang tinggalkan parti. Hanya tiga yang istiqomah. Iaitu Bung Mokhtar, Ramie Unggi dan Yaakub Khan.

“Mereka yang lari itu bukan kecil anak. 9 ADUN, 5 ahli Parlimen dan dua orang Senator. Bukan calang calang. Umno umpama habis madu sepah dibuang.

“Tetapi ada Umno Sabah tersungkur? Ahli dan pemimpin bawahan tidak lari. Timbalan, Naib, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda tampil menggalas tugas Ketua Bahagian yang lari.

“Sebab itu di PRN Sabah, walaupun disabotaj dan ditikam dari belakang, Umno menang 14 kerusi berbanding PPBM 11 kerusi. PPBM dapat Ketua Menteri kerana PN ada 21 kerusi,” kata beliau.

Justeru itu, katanya, Umno tidak boleh apologatik.

“Konon takut perpecahan. Disiplin tetap disiplin. Langgar disiplin ada musibahnya. Tiada kompromi dalam bab tata tertib.

“Tinggal tiga, tigalah. Ahli tidak lari. Di sebelah sana nanti akan sampai giliran mereka, habis madu sepah dibuang,” tegas beliau.  

MD

 


No comments: