Presiden Umno tidak halang Ahli Parlimen sokong Anwar

 





Pengumuman kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tumbang oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar pagi tadi tidak dilakukan secara sebelah pihak.

 Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan mengetahui sejumlah Ahli Parlimen parti itu terlibat menyokong kerajaan baharu yang akan dibentuk oleh Anwar.

 Menurutnya, Umno bukanlah komponen rasmi Kerajaan Perikatan Nasional dan sokongan kepada Muhyiddin dibuat secara individu oleh Ahli-ahli Parlimen yang terlibat.

 "Sebagaimana diketahui umum, Umno dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-ahli Parlimen sahaja.

 "Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang DiPertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

 "Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-ahli Parlimen berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

 Dalam sidang media kira-kira pukul 11.30 pagi tadi, Anwar mengumumkan sejumlah Ahli Parlimen Umno antara yang akan ikut serta dalam pembentukan kerajaan baharu. Dengan itu kerajaan Muhyiddin 'tumbang' apabila sokongan tidak lagi memihak kepada beliau.

 Bagaimanapun, sebarang keputusan untuk membentuk kerajaan baharu hanya akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

No comments: