MUHYIDDIN JATUH.SOKONGAN PARTI PARTI LAIN TERHADAP ANWAR AKAN MENYUSUL

 

Berikut adalah kenyataan yang dibacakan Anwar Ibrahim dalam sidang media khas tengahari tadi mengenai sokongan majoriti yang sudah diperolehinya untuk mengambil alih kerajaan daripada PN yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, turut disertakan kenyataan media Amanah yang turut menyatakan sokongan daripada 11 Ahli Parlimennya kepada pembentukan kerajaan baru oleh Anwar itu.

Dijangka, beberapa parti lain akan turut mengeluarkan kenyataan medianya, sama ada petang ini atau esok pagi, untuk menyatakan sokongan yang sama kepada Anwar sebagai Perdana Menteri dan gabungan kerajaan baru yang bakal dibentuknya.

Apa pun, dengan sokongan majoriti kukuh yang diperolehi Anwar, kerajaan PN Muhyiddin kini telah jatuh dan sinar baru untuk Malaysia telah menjelma. (Shahbudindotcom 23/09/2020)

—————————————————————

KENYATAAN MEDIA ANWAR IBRAHIM

Bismillah Ar-Rahman Al-Rahim

As-salamu alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuhu

Dan salam sejahtera

Terima Kasih saya ucapkan kepada semua rakan media tempatan dan antarabangsa yang hadir walaupun jemputan dikeluarkan dalam tempoh yang singkat.

Rakyat Malaysia berhak mendapatkan sebuah kerajaan yang kukuh dengan kepemimpinan yang cekap dan yakin, untuk mengurus krisis ekonomi dengan bijaksana dan tuntas. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan negara ini daripada menghadapi kemelesetan ekonomi yang dibimbangi boleh menimbulkan ketegangan hubungan kaum.

Alhamdulillah kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Ingin saya nyatakan di sini majoriti yang menyokong saya ialah Ahli Parlimen Melayu dan Islam.

Untuk maklumat semua, sebenarnya saya telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelmarin, Selasa 22 September jam 11 pagi, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Baginda kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Kendati begitu, melalui perbualan telefon malam Selasa lalu saya telah mendoakan aa’fiah buat Kebawah Duli Tuanku.

Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat, Insha’Allah.

Pentadbiran ini pastinya mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini. Kami tetap menjunjung prinsip-prinsip perlembagaan yang mengiktirafkan kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputra disamping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain.

Akhir sekali, saya memohon seluruh rakyat supaya bersabar dan mendoakan kesembuhan segera Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara; menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat. InshaaAllah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya.

Terima Kasih.

ANWAR IBRAHIM

23 September 2020.

—————————————————————

KENYATAAN MEDIA

PARTI AMANAH NEGARA

Kami mengambil maklum pengumuman yang di buat oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan, dan Ahli Parlimen P132 Port Dickson yang hari ini telah memperolehi sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini, Parti AMANAH mengesahkan bahawa semua 11 orang Ahli Parlimen Parti Amanah Negara menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan memberi kan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu.

HAJI MOHAMAD SABU

Presiden AMANAH

23 September 2020

No comments: