Istana Negara mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijadualkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada semalam.
Bagaimanapun menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, majlis menghadap tersebut ditangguhkan ekoran Baginda Yang di-Pertuan Agong menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Adalah dimaklumkan bahawa majlis menghadap oleh Presiden PKR Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung pada hari Selasa (22 September, 2020) telah ditangguhkan ekoran kegeringan Yang di-Pertuan Agong.
“Ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di IJN.
“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19,” maklumnya melalui satu kenyataan.
Sementara itu, Baginda Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara.
Hari ini, Anwar memaklumkan beliau sepatutnya bertemu bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong pada semalam namun ianya ditangguhkan sehingga diberitahu.
Anwar berkata demikian dalam sidang medianya ketika mengumumkan mempunyai sokongan majoriti kukuh untuk merampas kembali Putrajaya.