PRN SABAH MEMALUKAN MUHYIDDIN



 Ramai yang percaya PN tidak ada harapan untuk menang pada PRN Sabah, 26 September ini.

Walaupun PN bergabung dengan BN dan PBS untuk membentuk GRS bagi menumbangkan Warisan, parti pimpinan Shafie Apdal itu dilihat masih lagi berada di depan dari segi sokongan rakyat.

Dengan itu, Warisan diramalkan akan terus kekal mentadbir Sabah selepas ini.

Jika perkembangan semasa ini kekal dan Warisan terus mentadbir Sabah selepas 26 September nanti, kegagalan GRS merampas kerajaan negeri itu lebih merupakan kegagalan yang memalukan buat PN dan Muhyiddin Yassin.

Ini bermakna, Sabah merupakan satu-satunya negeri yang gagal dirampas oleh Muhyiddin sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.

Sejak Muhyiddin mengkhianati PH sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, beliau turut melakukan pengkhianatan seterusnya dengan menjatuhkan beberapa kerajaan negeri bermula dengan Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Beliau kemudian merestui gerakan yang dilakukan oleh bekas Ketua Menteri, Musa Aman untuk merampas kerajaan negeri Sabah melalui aktiviti lompat parti secara beramai-ramai dengan dua orang kanannya, Hamzah Zainuddin dan Nardin Awang dikatakan terlibat sama membuat perancangan, termasuk mengadakan pertemuan dengan TYT Sabah.

Bagaimanapun, gerakan itu berjaya dipatahkan oleh Shafie yang segera memohon agar Dun Sabah dibubarkan untuk pilihanraya semula diadakan dengan segera.

Dengan itu, berlakulah PRN Sabah yang sedang rancak sekarang ini.

Gagalnya Musa Aman mengambil alih kerajaan negeri Sabah adalah kegagalan pertama Muhyiddin di mana beliau tidak berjaya menukar kerajaan negeri sepertimana sebelum ini berjaya dilakukannya di Johor, Melaka, Perak dan juga Kedah.

Melalui PRN Sabah itu juga memperlihatkan hubungan yang semakin retak antara UMNO dengan Bersatu.

Usaha Bersatu untuk mendapat lebih kerusi untuk ditandingi telah menemui kegagalan di mana parti itu hanya memperolehi 19 kerusi berbanding UMNO sebanyak 31 kerusi.

Dari segi gabungan pula, PN bertanding sebanyak 29 kerusi berbanding 41 oleh BN.

Ini bermakna, Bersatu dan BN gagal mengatasi UMNO dan BN dari segi jumlah kerusi yang ditandingi.

Ini adalah kegagalan kedua buat Muhyiddin di mana kedudukan beliau dan partinya tidak dihormati oleh UMNO dan BN.

Berdasarkan perkembangan semasa setakat ini, Warisan bukan saja diyakini akan terus mendapat sokongan dan kekal memerintah Sabah, malah lebih ramai yang yakin dan percaya jumlah kerusi yang dimenangi UMNO dan BN bakal melebihi kerusi yang mampu dimenangi Bersatu dan PN.

Untuk seterusnya, ini adalah kegagalan ketiga buat Muhyiddin kerana PN adalah kerajaan di peringkat persekutuan dan beliau adalah pengerusi gabungan itu yang memegang jawatan Perdana Menteri.

Berbeza dengan UMNO dan BN, mereka hanya menumpang dalam

PN serta menolak untuk menyertai gabungan tersebut.

UMNO dan BN sebahagian besarnya bergantung kepada gerakan kempen Najib Razak yang nampaknya turut mendapat sambutan hangat ke mana-mana saja beliau berkunjung.

Sekaligus ini bermakna, Najib lebih disukai, disokong dan diterima oleh rakyat Sabah berbanding Muhyiddin yang poster dan gambarnya bersepah-sepah di seluruh Sabah.

Dengan gagal menumbangkan Warisan dan gagal juga memenangi lebih kerusi berbanding UMNO dan BN, bermakna usaha Muhyiddin untuk meletakkan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri turut menemui kegagalan.

Ini adalah kegagalan keempat Muhyiddin, malah ibarat suatu tamparan yang tepat tertepek dan melebamkan mukanya.

Menolak calon Ketua Menteri pilihan Perdana Menteri sendirinya bermakna penolakan terhadap Muhyiddin.

Berikutnya, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRN Sabah ini adalah umpama beliau berjalan di atas duri serta api.

UMNO dan BN dipercayai akan terus mengasak dan menekannya dari segi pembahagian kerusi dan usaha Bersatu untuk memperolehi lebih daripada 13 kerusi untuk ditandingi dalam PRU15 pasti bertambah sukar.

Hakikatnya tiada asas untuk UMNO berkompromi dengan Bersatu dalam soal kerusi, khususnya memberi muka kepada Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali.

Akhirnya, sokongan pengundi kepada Warisan dalam PRN Sabah adalah detik penting bukan saja untuk Muhyiddin digambarkan sebagai gagal dan dimalukan, bahkan sebagai pembalasan atas pengkhianatan yang dilakukannya terhadap PH sebelum ini. (Shahbudindotcom 23/09/2020)