Tidak ada jaminan Muhyiddin jadi PM selepas PRU 15 - Husam

 



 Kekalutan dalam gabungan pemerintah begitu gawat sewaktu menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.

 Semangat setiakawan yang ditonjolkan sejak awal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) terburai di Sabah dengan pertandingan pelbagai penjuru antara PN dan BN.

 Bagi Senator Datuk Husam Musa, situasi di Sabah itu bakal merebak ke Semenanjung dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 kelak.

 Katanya, tanpa kesatuan antara Muafakat Nasional (MN), PN dan BN maka rakyat akan melihat berlakunya pertandingan lebih dari dua penjuru di Semenanjung. Menurutnya, pembubaran DUN Sabah boleh menjadi rahmat kepada Pakatan Harapan (PH).

 "(Ketamakan politik) berakhir dengan PN dan BN, mendedahkan bahawa mereka bukan ada muafakat sebenar. Bukan sepakat sangat. Baru kerusi Sabah dah bertindih, kalau kerusi Semenanjung, kerusi PRU tak tau apa nak jadi.

 "Tok Mat Hasan, Timbalan Presiden Umno beri amaran kepada Pas. 50 kerusi awak nak bertanding, awak bertanding sendirilah.

 "Saya sokong pemuda Pas. Saya sokong cadangan Timbalan Ketua Pemuda Pas dalam Muktamar (bertanding 50 kerusi). Dibentang dalam Muktamar dan diluluskan. Pas akan bertanding (semua) kerusi (Parlimen) Kelantan, Terengganu dan Kedah.

 "Jadi saya nak dicatit dalam rekod, saya mahu Pas bertanding semua sekali 50 kerusi. Ini pun muafakat, bukan bergaduh. Lain dari (kerusi) itu Umno bertanding semua. Formula ini lagi senang.

 "Apa yang saya nak beritahu, kekalutan dalam MN itu begitu terserlah. Macam mana nak ada jaminan selepas PRU nanti kestabilan negara dapat diwujudkan," katanya dalam forum Sembang Santai Bersama Husam Musa di Kuala Lumpur, malam tadi.

 Menurut Husam lagi, jika di Sabah terdapat dua calon Ketua Menteri jika PN dan BN menang, situasi akan lebih teruk apabila berlaku perebutan untuk menjadi Perdana Menteri (PM) selepas PRU 15.

 Katanya, Muhyiddin dan partinya tidak boleh rasa terjamin akan menduduki semula kerusi PM dengan perkembangan terbaharu itu.

 "Ini gambaran perebutan PM Malaysia akan lebih sengit. Tidak ada yang boleh beri jaminan Muhyiddin akan jadi PM semula. Tidak ada jaminan. Zahid pun akan jadi PM. Kalau ada kerusi (BN) lebih dia jadi PM.

 "Kelam kabut negara kita. Sensaralah rakyat kita. Mundurlah rakyat. Ini topik yang patut menjadi rangka agenda yang kemas di kalangan pemimpin PH.

 "Kalau kita ada kejelasan dan ketegasan ini, barulah mobilisasi rakyat dapat dibangunkan," katanya.

 Untuk rekod, PN belum memutuskan siapakah calon PM selepas PRU 15 secara muktamad. Apatah lagi BN enggan menyertai PN dan dalam kalangan PN hanya Pas yang ikut serta dalam penubuhan gabungan baharu itu.