Hadi serang Malaysiakini, Aziz Bari buka ‘fail lama’: Dulu mereka pertahan Pas

 


Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa portal Malaysiakini pernah memberikan ruang dan mempertahankan hak parti itu ketika berdepan tekanan politik pada 1999.

Peringatan itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa Malaysiakini menyebarkan “ajaran sesat”, yang disifatkan Aziz sebagai tuduhan berat, mengelirukan dan tidak adil.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Tebing Tinggi itu, Malaysiakini banyak memberikan ruang kepada Pas sejak mula beroperasi pada 1999, termasuk ketika negara berada di bawah pentadbiran sebelum 2018.

Malah, katanya, portal berkenaan pernah mempertahankan hak Pas ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menghapuskan perkataan “Islam” daripada nama parti itu pada 1999.

“Sebagai ahli politik dan Ahli Parlimen veteran, beliau sepatutnya sedar serta mengakui peranan penting media dalam masyarakat,” katanya menerusi kenyataan media.

Aziz berkata, jika Abdul Hadi tidak berpuas hati terhadap laporan Malaysiakini, beliau sepatutnya menggunakan saluran yang tersedia termasuk mengemukakan aduan kepada Majlis Media Malaysia.

Beliau turut mencadangkan pengurusan Malaysiakini mengkaji kemungkinan mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan tersebut kerana ia membabitkan kepentingan masyarakat dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

Dalam pada itu, Aziz mendakwa beberapa pandangan Abdul Hadi sebelum ini bersifat perkauman dan tidak sesuai dengan realiti masyarakat majmuk Malaysia.

Menurutnya, pandangan berkenaan juga tidak mencerminkan Islam sebagai agama yang membawa konsep rahmatan lil alamin.

Sehubungan itu, Aziz menyarankan Abdul Hadi berundur daripada ruang awam dan memberikan perhatian kepada kesihatan serta kebajikan dirinya sendiri.

“Justeru, dengan rasa hormat, eloklah beliau berundur daripada ruang awam dan menumpukan perhatian kepada kesihatan serta kebajikan dirinya sendiri,” katanya.





No comments: