Kes Najib: Titah Adendum bidang kuasa Agong, PM ambil sikap berkecuali



 

Oleh: Abdullah Zaid




Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak mahu terlibat dengan perbincangan berkaitan Titah Adendum atau tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong berkenaan tahanan di rumah terhadap bekas PM Najib Razak.



Ahli Parlimen Tambun itu sebaliknya berkata, perkara tersebut adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Raja Melayu.



"Saya tak mahu terlibat soal perbincangan Titah Adendum kerana ini bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan wewenang sepenuhnya Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu.



"Oleh itu semua pihak sepatutnya terima kenyataan tersebut dan terus dengan tumpuan kita untuk jamin keamanan, perkukuhkan kestabilan politik dan membangunkan negara," katanya kepada pemberita usai solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, Selangor, petang tadi.



Selain itu, berkenaan afidavit yang difailkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi, Perdana Menteri berkata beliau juga maklum dengan perkara berkenaan.



Namun katanya, pendirian kerajaan adalah tidak mencabar sebarang keputusan melibatkan institusi beraja di mahkamah, selain menjelaskan afidavit yang dibawa Zahid Hamidi atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO.



"Urusan Raja-Raja tidak harus dicabar jadi sebab itu saya tidak mahu ulas selain menyatakan ini prinsip kerajaan sejak merdeka," katanya lagi.



Menerusi afidavit dibawa Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, 30 Januari tahun lalu.



Zahid dilaporkan berkata, beliau melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

 


No comments: