Lupus beras perlu dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras - KPKM

 



Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius isu tular pembuangan beras dan barang keperluan lain di suatu lokasi di Temerloh, Pahang kerana sebarang langkah pelupusan bahan makanan asas negara itu perlu dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB).



Kementerian dalam kenyataan berkata isu tersebut masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu.



"KPKM memandang serius isu tular yang berlaku dan mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB Cawangan Temerloh ke lapangan. Turut hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).



"Lokasi kejadian tersebut berlaku di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur - Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang. Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa beras-beras tersebut telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan," kata kenyataan itu.



Terdahulu pagi ini, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dalam kenyataan mengakui beras yang dibuang itu adalah miliknya yang sebelum ini disimpan secara pukul untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasannya.



Ismail berkata, barangan dapur itu terpaksa dilupuskan kerana sudah rosak dan tidak lagi sesuai untuk diagihkan.



Katanya pembelian barangan dapur itu tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri Pahang serta tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan menghadapi banjir



"Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022.



"Umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.



"Saya mengambil tanggungjawab dan sangat menyesali perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan," katanya.



Untuk rekod, Ismail memegang kerusi Parlimen Kuala Krau selama empat penggal bersama Barisan Nasional sebelum tewas kepada calon Perikatan Nasional, Kamal Ashaari pada Pilihan Raya Umum ke-15.

·         beras