Lantikan politik, Menteri, wakil rakyat juga tidak berpencen - PM


 

Skim saraan tidak berpencen kakitangan awam yang bakal dilaksanakan akan melibatkan juga ahli politik yang dilantik sebagai menteri dan wakil rakyat.



Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.



Menurutnya, beliau pada dasarnya bersetuju bahawa jawatan lantikan politik akan menikmati skim saraan yang sama seperti kakitangan kerajaan lainnya.



Bagaimanapun Anwar, hal itu tidak terkesan kepada menteri atau wakil rakyat yang berkhidmat sebelum tarikh kuatkuasa diumumkan.



"Apa saja keputusan yang ditetapkan bagi penjawat awam terpakai juga bagi ahli politik. Maknanya, kalau kita mula pada 1 Februari 2024 dan semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua lantikan baharu ahli politik.



"Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri dan kemudian jadi timbalan perdana menteri, itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang secara retrospektif.



"Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah, kita nak tukar penyesuaian ini.



"Secara prinsipnya, saya bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan Jemaah Menteri putuskan," katanya dipetik BH dalam sidang media sebelum makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Pelita, Desa Sri Hartamas.



PM berkata demikian sebagai menjawab persoalan warganet yang mengecam cadangan menghentikan skim saraan berpencen kakitangan awam yang seharusnya turut melibatkan ahli politik.



Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.



Ahmad Zahid dilaporkan berkata, pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaan akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

 

No comments: