MASA DEPAN KJ GELAP BERSAMA UMNO, BAKAL DIPECAT JUMAAT INI?

 

Walaupun mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO yang sepatutnya diadakan petang semalam telah dilapangkan, nasib bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dipercayai tetap tidak berubah.

Mesyuarat petang semalam antara lain dijadual membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap Khairy atau KJ berhubung tuduhannya tentang kewujudan “perwakilan hantu” dalam PAU2022 baru-baru ini.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan ketika ditanya berkenaan kedudukan KJ semalam hanya menjawab ringkas bahawa nasib bekas Ahli Parlimen Rembau itu akan ditentukan “petang ini”.

Begitu pun, perkembangan terakhir sehingga petang semalam menunjukkan tiada sebarang mesyuarat diadakan di Bangunan UMNO di WTCKL.

Tiada sebarang sebab diberikan mengapa mesyuarat itu dilapangkan.

Sepatutnya, selepas kedudukan KJ diambil tindakan dalam mesyuarat Pengurusan dan Disiplin petang semalam, ia kemudian akan disahkan oleh MT UMNO yang akan bermesyuarat Jumaat ini.

Dalam kes KJ, beberapa maklumat daripada UMNO menyebut, kesnya akan terus dibincang serta diambil tindakan oleh mesyuarat MT yang akan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Dikatakan lagi, tuduhan KJ berkaitan “perwakilan hantu” adalah dakwaan yang serius yang tidak dapat dibuktikan kebenarannnya dan Zahid Hamidi diberitakan amat memandang serius berkenaan dengannya kerana ia menjejaskan imej UMNO.

Ketika PAU baru-baru ini, Zahid Hamidi sendiri nenyebut bahawa tindakan akan diambil terhadap KJ berhubung tuduhannya itu.

Dengan demikian, meskipun tanpa dibawa ke mesyuarat Pengurusan dan Disiplin UMNO terlebih dahulu, sebaliknya terus ke mesyuarat MT Jumaat ini, nasib KJ dikatakan tetap tidak akan berubah.

Maklumat daripada UMNO mengatakan, menantu Tun Abdullah Badawi itu hanya ada dua kemungkinan tentang nasib dirinya pada Jumaat ini.

Pertama, dipecat terus daripada UMNO sebagaimana diputuskan MT UMNO terhadap Annuar Musa sebelum ini.

Atau kedua, digantung keahlian selama enam tahun sepertimana hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, baru-baru ini.

Ini bermakna, apa pun salah satu hukuman yang akan dijatuhkan, masa depan KJ sudah boleh dikira gelap bersama UMNO.

Sama ada digantung enam tahun atau dipecat, beliau dengan sendirinya tidak boleh bertanding dalam pemilihan UMNO akan datang ini, baik di peringkat bahagian mahu pun pusat, bahkan tidak mungkin dicalonkan lagi dalam PRU16 nanti.

Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan yang akan memimpin UMNO berikutan lulusnya usul tiada pertandigan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, akan terus mengetuai parti mendepani PRU16 dan pemilihan UMNO yang seterusnya hanya akan diadakan selepas enam bulan kemudiannya.

Kecuali hanya dengan menyertai parti lain, UMNO nampaknya bukan lagi wadah untuk KJ mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 26/01/2023.