Membendung arus kebangkitan konservatisme agama di Malaysia- SIRI 2

 

Membendung arus kebangkitan konservatisme agama di Malaysia

Mari kita cipta dan sebarkan naratif tandingan kita sendiri yang inklusif dan adil agar menjadi benteng melawan konservatisme agama.



Kumpulan Islam ekstrem sayap kanan seperti Isma menentang projek perintis ini kerana mereka mendakwa ia menormalkan gaya hidup LGBT yang dikeji mereka. Pihak berkuasa agama di Selangor kemudiannya menyusul dengan mengeluarkan fatwa melarang pengamal perubatan Islam daripada menetapkan PrEP kepada pasangan gay.

Matlamat menyeluruh perubatan PrEP untuk mengurangkan kemudaratan di kalangan mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV/Aids, tanpa mengira orientasi seksual mereka, telah hilang di tengah-tengah kekecohan agama mengenai projek perintis itu.

“Pertama jangan lakukan mudarat” – prinsip utama sumpah Hippocratik yang menjadi asas kepada moral pengamal perubatan – seakan tidak relevan kepada pembelot agama sebegini kerana mereka tidak ragu-ragu untuk membiarkan sesetengah orang mati sementara yang lain hidup, demi dogmatisme buta mereka.

READ MORE:  Hadi should desist from irresponsibly shooting off his mouth

 

Seperti yang kita sedia maklum, hak orang bukan Islam juga turut terhakis dengan tindakan penganut agama yang sebegini. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan agama, kehidupan orang Islam dan bukan-Islam sering bersilang rapat dan berkait rapat.

Ini bermakna peraturan-peraturan Islam yang kononnya ditujukan untuk orang Islam sahaja pasti akan menceroboh hak orang bukan-Islam. Kes-kes yang tidak dapat diselesaikan berleluasa di Malaysia khususnya mengenai perebutan hak penjagaanpenukaran agama secara paksa dan murtad agama apabila hak orang bukan Islam berhadapan dengan pihak berkuasa Islam.

Pada minggu-minggu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baharu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, menjadi berita utama apabila beliau bertemu dengan pengurusan pusat beli-belah  Sunway Carnival di Seberang Jaya, Pulau Pinang dek kerana pameran minuman beralkohol yang dilakukan terbuka.

Fawwaz mendakwa pameran jualan itu tidak sensitif kepada umat Islam yang tinggal di kawasan itu. Beliau sama sekali tidak peduli fakta bahawa pameran jualan alkohol itu bertujuan untuk orang bukan-Islam, terutamanya orang Cina, yang akan menyambut Tahun Baru Cina.

Ahli Parlimen itu, yang jelas bertindak di luar bidang kuasa rasminya, juga mengabaikan fakta bahawa lebih 30% daripada kawasan Seberang Jaya adalah bukan-Islam manakala angka itu pula adalah sebanyak 70% di daerah parlimen Bukit Mertajam yang bersebelahan kawasan parlimennya.

Saya fikir ramai juga umat Islam yang tidak bersetuju dengan aksi publisiti yang memecahbelahkan dan penuh hasutan oleh beliau ini. Namun, apa sebenarnya yang boleh kita harapkan daripada seorang ahli parlimen yang satu-satunya pencapaian sebelum beliau diundi adalah menjadi pendakwah agama yang bangga berpoligami dengan 11 orang anak?

Kemenangan mengejut beliau ke atas penyandang jawatan Nurul Izzah Anwar yang lebih terkenal adalah tanda konservatisme yang berleluasa di kalangan pengundi Melayu-Islam, khususnya pengundi muda dan baharu.

Tinjauan ke atas belia Islam di seluruh negara pada 2022, yang dijalankan oleh SIS dan Merdeka Center, menunjukkan bahawa ramai daripada mereka berpegang pada pandangan yang sangat konservatif dan saling bercanggahan, terutamanya soal agama.


Misalannya, 44% daripada mereka bersetuju semua orang dibenarkan memilih agama mereka sendiri tetapi hanya 6% bersetuju bahawa orang Islam harus dibenarkan menukar agama mereka. Manakala 68% bersetuju bahawa undang-undang Syariah harus sama atau lebih tinggi daripada undang-undang sivil dan 75% bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.

Tidak hairanlah ramai daripada etnik Melayu muda yang konservatif ini mengundi Perikatan Nasional pada pilihan raya umum lalu, dan hampir membawa gabungan itu membentuk kerajaan pusat.

Kajian saya di negeri Kedah menggambarkan fenomena ini dengan jelas. Di kerusi parlimen Baling, di mana orang Melayu membentuk 89% daripada penduduk, penyandang ahli parlimen Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim, tewas dengan margin yang besar sebanyak 29,137 undi walaupun pengundi baru yang layak mengundi meningkat sebanyak 24,886. Bahkan, Abdul Azeez menerima lebih sedikit undi pada pilihan raya umum 2022 (35,356) berbanding pilihan raya umum 2018 (38,557).

Ini bermakna kebanyakan undi Melayu yang pernah menjadi milik Umno beralih kepada calon Pas-PN pada pilihan raya 2022 kerana mereka dilihat lebih menjuarai dan mewakili kepentingan Melayu dan Islam.

Kita mungkin akan melihat arus gelombang konservatif ini berterusan dalam pilihan raya negeri akan datang di enam negeri. Ia adalah sebuah arus di mana kita yang berfikiran sivik dan yang mengambil berat tentang soal dan hak kebebasan perlu gusar.

Polarisasi etno-agama dalam masyarakat kita adalah cukup nyata dan membimbangkan seperti yang didedahkan oleh keputusan pilihan raya umum tahun lalu: hampir 90% orang Melayu mengundi gabungan Melayu-Islam PN dan Barisan Nasional yang dikuasai Umno manakala 90% etnik Cina dan 75% etnik India mengundi Pakatan Harapan.

Sudah tiba masanya untuk kita cipta dan sebarkan naratif tandingan kita sendiri yang inklusif, adil, empati dan penuh kesaksamaan agar menjadi benteng melawan konservatisme agama di dalam negara kita.

Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
24 Januari 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

 

No comments: