Dasar pendidikan negara masih era 1990an?
Sistem pendidikan negara seharusnya berubah mengikut peredaran zaman dan tidak seharusnya terhenti pada satu-satu polisi tertentu.
Menurut Pengarah Pendidikan KEADILAN, Dr Maszlee Malik, krisis pendidikan yang berlaku ketika ini adalah disebabkan ia masih terkongkong dengan dasar era 1990an, menyebabkan negara tidak mampu melahirkan pelajar yang lebih berketrampilan seiring dengan perubahan teknologi.
“Di zaman ini pelbagai fenomena baharu yang tidak berlaku sebelumnya terjadi, seperti gig ekonomi, IR 4.0, kehidupan globalisasi dan sebagainya.
“Terkini kita baru lepas pandemik Covid 19, mahu tidak mahu sistem pendidikan itu harus berjalan seiring dan mendepani arus perubahan
“Masalah di Malaysia kita masih lagi terkongkong, terjumud dalam kerangka pendidikan era 90an. Banyak polisi, undang undang, pendekatan pendidikan terperangkap di zaman tersebut.
“Zaman itu mempunyai tuntutan tersendiri. Politik ekonomi, jadi pada waktu itu sistem yang datang sesuai menyahut, merespons tuntutan politik, budaya zaman itu. Misalnya kelas ekonomi, etnik, tuntutan ekonomi berasaskan bangsa (yang tidak lagi sama seperti hari ini),” katanya dalam bualbicara terbitan Studio KEADILAN bertajuk “Reformasi Pendidikan Negara”, malam tadi.
Kata Ketua Cabang KEADILAN Simpang Renggam itu, dengan wujudnya Revolusi Industri (IR) 4.0 yang belum pernah berlaku sebelumnya maka kaedah lama pendidikan yang tidak pernah berubah sejak 1990an menyebabkan pelajar tidak disediakan dengan ilmu bantu yang bersesuaian dengan kehendak terkini sektor pekerjaan.
“Dengan wujudnya IR 4.0, pasca Covid, kerja yang tak pernah ada sebelum ini. Ilmu teknologi, kepakaran, kemahiran yang baru timbul menuntut kita mengadaptasi perkembangan baru.
“Kalau kita kekal jumud dengan kerangka 90an kita tidak boleh bersaing dan ketinggalan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai reformasi yang cuba dilakukan beliau ketika menjawat Menteri Pendidikan pada 2018 hingga 2020, Dr Maszlee berkata, percubaan pernah dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk merombak secara besar besaran sistem pendidikan negara tetapi terbengkalai selepas berlakunya Langkah Sheraton.
“Kalau masih ingat, kita tubuhkan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara. Pada 2019 mereka (Kementerian Pendidikan) bentangkan laporan tersebut kepada saya dalam 500 muka, selain laporan mereka kemukakan juga saranan.
“Saranan menarik adalah model pendidikan baharu yang akan merobah lanskap pendidikan kita, yang mana 12 tahun pembelajaran wajib dari pra sekolah sehingga masuk universiti. Pra sekolah diwajibkan.
“Sekolah menengah juga diwajibkan. Juga kita kaburkan demarkasi antara sastera dan sains, supaya pendidikan itu boleh didemokrasikan. Hatta oleh pelajar yang bukan dapat sederet A sekali pun,” katanya.
Malangnya, ujar Maszlee, kerajaan PN – BN yang menggantikan PH selepas itu tidak berminat dengan sebarang perubahan yang dicadangkan, malah mereka tidak pula membawa apa apa cadangan lain biar pun maklum sistem pendidikan di negara negara jiran telah jauh berubah.