Pengerusi PH, Anwar Ibrahim akhirnya memutuskan Parlimen Tambun sebagai kawasan yang akan ditandinginya pada PRU15 nanti.
Mengumumkan perkara di Konvensyen PH di Ipoh malam tadi, Anwar berkata, keputusannya memilih Tambun adalah bertujuan untuk menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan dalam perjuangannya kali ini.
“Saya tidak memilih kerusi mudah yang jamin majoriti besar. Saya mengepalai dan akan tawan Tambun dalam PRU15.
“Perak akan menjadi negeri barisan hadapan perjuangan kali ini. Saya akan labuh di Tambun,” katanya disambut tepukan gemuruh.
Dengan memilih Tambun, bermakna Anwar yang juga Presiden PKR akan cuba merampas kerusi itu daripada wakil rakyatnya sekarang iaitu Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu atau Peja yang memenangi kerusi tersebut pada PRU14 lalu.
Secara tradisi pula, Tambun adalah kerusi milik UMNO di mana Ahli Parlimen terakhirnya sebelum tewas kepada Peja ialah Ahmad Husni Hanadzlah, bekas Menteri Kewangan Kedua.
Melihat kepada jumlah pengundi berdaftar pada 2018 iaitu seramai 107,763, di samping cabaran daripada UMNO/BN dan Bersatu/PN yang ada Pas didalamnya sudah pasti sengit, hakikatnya Tambun bukanlah kawasan yang mudah bagi Anwar.
Berbanding Port Dickson, kawasan yang diwakili Anwar sekarang dan telah dijaganya dengan baik sejak empat tahun lalu, berpindah ke Tambun bermakna beliau harus bermula daripada kosong.
Banyak kerja dan program turun padang harus dilakukannya, malah perlu dilipatgandakan berbanding yang dilakukannya di Port Dickson sekarang ini.
Tetapi itulah Anwar, beliau memang seorang yang suka cabaran dan tidak suka memilih jalan mudah dalam perjuangannya.
Bahkan, dengan rekodnya di Port Dickson selama ini, beliau kini menyediakan kawasan itu lebih mudah untuk dimenangi sesiapa saja yang diputuskan PKR sebagai penggantinya.
Apa yang dilakukannya ini dengan memilih kawasan baru untuk ditandingi tidak mungkin berani dilakukan oleh presiden parti lain seperti Zahid Hamidi, Mahiaddin Md Yasin, Hadi Awang, malah Tun Mahathir Mohamad pun tak berani keluar daripada negeri Kedah untuk bertanding.
Di sinilah kelebihan dan berbezanya Anwar berbanding semua yang lain kerana selepas keluar daripada Permatang Pauh, beliau kemudian berpindah ke Port Dickson dan kini ke Tambun.
Dalam erti kata lain, beliau adalah sosok yang boleh menang di mana saja kawasan yang ditandinginya.
Termasuk Tambun dengan komposisi pengundi – Melayu 65.8%, Cina 23.7%, India – 9.0% dan lain-lain 1.5%, kawasan itu adalah gambaran wajah Malaysia yang sebenar dan walaupun cabaran dijangka sengit, Anwar dilihat tidak sukar untuk memenanginya, sesuai dengan perjuangannya untuk semua kaum selama ini.
Apatah lagi dengan bertanding di Tambun yang sekaligus meletakkan Perak sebagai negeri barisan hadapan dalam perjuangannya, selain kedudukan beliau sebagai bakal Perdana Menteri, semua itu adalah merit tambahan yang lebih memungkinkan sokongan kemenangan lebih melonjak kepadanya.
Jentera PH secara keseluruhan pula sudah pasti juga akan memberi lebih tumpuan bagi memastikan calon Perdana Menteri beroleh kemenangan yang membanggakan.
Bagi pengundi Tambun, berbanding diwakili dua menteri sebelum ini iaitu daripada UMNO dan juga Bersatu, sudah tentu kali ini amat teringin untuk diwakili oleh Perdana Menteri sebagai wakil rakyat mereka.
Walaupun Perak adalah negeri kelahiran Presiden UMNO dan keputusan Anwar mahu menjadikan negeri itu sebagai negeri barisan hadapan dalam perjuangannya serta ingin dirampas dalam PRU15 nanti dan ia tentunya merupakan suatu tamparan kepada Zahid Hamidi, Peja sebagai Ahli Parlimen Tambun sebenarnya lebih tertampar lagi dengan keputusan Anwar bertanding di situ.
Jangan-jangan tidurnya pun sudah tak lena lagi mulai malam ini.
Apakah Peja masih mahu kekal di Tambun atau mula mengintai mencari kawasan lain untuk menyelamatkan dirinya? – ShahbudinHusin 21/10/2022.