MoU dibuat untuk pulihkan ekonomi, Umno jangan ganggu usaha baiki kehidupan rakyat


 

Isu memorandum kerjasama (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) dipanaskan oleh Umno sejak seminggu lalu.

Timbul kenyataan Umno tidak mengiktiraf MoU dan kemungkinan mendesak Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen lebih awal sebelum tamat perjanjian pada 31 Julai 2022.

Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, sikap Umno yang ketagih masuk camur isu kerajaan yang ditandbir oleh PM itu amat dikesalkan.

Katanya, MoU adalah atas semangat nasihat Yang di-Pertuan Agong bagi menghindari konflik politik berterusan dan tidak boleh ditentukan hidup matinya oleh Umno.

"Umno kena rujuk perjanjian, MoU itu di antara kerajaan dengan pembangkang bukannya Umno dengan pembangkang, mereka kena faham itu dulu. Kita mengikut perintah Tuanku nak stabilkan ekonomi.

"Ini perjanjian di antara kerajaan (termasuk PN dan GPS) bukannya mewakili Umno sahaja. Kalau dia tak nak sambung itu ikut dialah nak buat dasar apa sekalipun, kita (pembangkang) tak masuk campur urusan dia.

"Kalau ekonomi stabil, peluang pekerjaan ada dan sebagainya barulah kita akan ok (buat pilihan raya)," katanya ketika dihubungi.

Tambah calon Naib Presiden KEADILAN itu, kekalutan Umno menolak MoU lebih kepada mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal bagi menyelamatkan kluster mahkamah dan tidak ada kena mengena dengan rakyat.

Sedangkan, kata Abdullah, PH lebih mengutamakan pemulihan kehidupan rakyat pasca pandemik Covid 19 sebelum diadakan PRU.

"Umno sebenarnya bimbang pasal pilihan raya, kita pula risau apa dah jadi pada negara kita. Bagaimana nak bangunkan negara kita? Itu yang penting, rakyat mahu lepas dari belenggu endemik dan nak ekonomi stabil.

"Saya nak tegaskan bahawa MoU itu dengan kerajaan bukan dengan Umno. Kenapa Umno nak kelam kabut sangat," katanya lagi.

Tegas Abdullah, Umno tidak perlu campurtangan mendesak PM Ismail menamatkan awal MoU kerana hal itu bukan urusan mereka.

Tiba masanya Umno membezakan urusan kerajaan dan urusan parti. Katanya, Umno tidak boleh mentadbir negara dengan terus menerus memaksa rakyat mengikut agenda parti mereka sahaja.

 

No comments: