FIKIR BANYAK KALI TU.....TU LAMBAT DEDAH NAK LOMPAT....

 

Aktivis bidas ahli Parlimen lambat dedah tawaran berpaling tadah





P Prabakaran dan Rusnah Aluai baru-baru ini memberitahu Dewan
 Rakyat mengenai tawaran yang diterima untuk berpaling tadah
 daripada parti mereka.

PETALING JAYA: Dua badan anti-rasuah berkata, adalah “mengejutkan dan pelik” apabila dua ahli Parlimen hanya membuat pendedahan baru-baru ini bahawa mereka diberi tawaran untuk berpaling tadah daripada Pakatan Harapan (PH) ketika perintah sekatan pada 2020.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata, apabila rasuah ditawarkan, ahli politik sepatutnya membuat laporan segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini selepas ahli PKR P Prabakaran yang merupakan ahli Parlimen Batu mendakwa ramai ahli politik kanan termasuk ketua parti politik serta menteri menghampirinya dengan tawaran supaya berpaling tadah daripada PH pada 2020.

Ketika di Dewan Rakyat, beliau memberitahu bahawa segelintir ahli politik menawarkannya projek manakala ada yang berkata mereka boleh “memberi” jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai turut mendakwa beliau diajak untuk melompat parti pada 2020, dengan memberitahu Dewan Rakyat, ia berlaku melalui pesanan teks dalam aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun Rusnah berkata, beliau tidak membuat laporan kerana pihak berkuasa dilihat seolah-olah lebih berminat menyiasat pengadu, bukannya orang yang membuat tawaran sedemikian, merujuk kepada kurangnya kepercayaan terhadap SPRM.

Mohan berkata, sekiranya benar, ini bermakna kedua-dua mereka gagal melaporkan kesalahan selain menambah bahawa adalah tidak adil untuk mengandaikan bahawa SPRM hanya akan menyiasat orang yang melaporkan, bukan yang menawarkan rasuah.

“Dalam mana-mana kes, SPRM hanya boleh menyiasat sekiranya laporan dibuat. Tidak adil untuk menyalahkan SPRM jika laporan pun tidak dibuat,” katanya kepada FMT.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Cynthia Gabriel mempersoalkan tindakan Prabakaran dan Rusnah yang berdiam diri mengenai perkara itu ketika kali pertama tawaran itu dibuat.

“Walaupun benar terdapat defisit kepercayaan yang serius terhadap institusi kita seperti SPRM pada masa ini, namun tidak ada alasan untuk berdiam diri sehingga sekarang. Itu tidak bertanggungjawab memandangkan keadaan politik negara yang tidak menentu. SPRM harus menyiasat dakwaan itu,” katanya.

Gabriel berkata, kedua-dua ahli politik itu harus segera melaporkannya, jika tidak, akan ada “defisit kepercayaan yang teruk” terhadap ahli Parlimen terbabit.

Manakala itu ketua pertubuhan Rasuah Busters Nurhayati Nordin turut bersetuju bahawa dakwaan yang dibuat oleh dua Ahli Parlimen itu harus disiasat dan mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dengan melaporkannya segera kepada SPRM.

“Selain itu, setiap individu yang berdepan situasi sama harus berani dan jujur untuk tampil dan bersedia untuk disiasat oleh SPRM,” katanya.

No comments: