PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menggesa parti itu merampas kuasa pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang “dengan apa-apa cara yang perlu” dan bukan sekadar menjadi pembangkang “bermaruah”.
Beliau meluahkan kekecewaan kenyataan anggota parti bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak harus terlalu yakin akan memenangi PRU15, sebaliknya perlu bersedia menunggu pilihan raya seterusnya.
“Tahukah kita lima tahun Barisan Nasional (BN) dan kleptokrat kalau memerintah negara, siapa boleh jamin tata kelolanya, rasuah, kebocoran, penyelewengan, penindasan, salah guna institusi kerajaan ke atas pembangkang siapa boleh jamin?
“Sebab itu kita kena ambil kuasa politik kuasa pemerintahan seawal PRU15 walau apa cara sekalipun,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa semalam.
Kenyataan Saifuddin itu dibuat susulan kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas naib presiden, Nurul Izzah Anwar mengenai prospek PRU PKR dan PH.
Beliau berkata, adalah mustahil untuk PKR memikat penyokong pada PRU jika parti itu tidak menyasarkan kemenangan dan sebaliknya hanya berkempen untuk menjadi pembangkang “bermaruah”, frasa yang digunakan oleh Rafizi dalam ucapannya baru-baru ini.
Saifuddin berkata: “Pengundi atas pagar hanya akan menyokong mereka yang berpeluang memenangi pilihan raya. Jika parti itu berpeluang menang dan membentuk kerajaan, maka mereka akan beralih kepada PKR.
“Sebab itu, tidak kira apa yang kita rasa dan analisa (tentang prospek memenangi PRU), kita perlu simpan dalam parti supaya kita akan bekerja lebih keras.
“Di luar sana, kita sepatutnya menanamkan suasana keyakinan dan kemenangan kepada pengundi. Itu adalah strategi yang tepat.”
Terdahulu Rafizi dilaporkan berkata, pakatan pembangkang harus realistik tentang peluangnya dan tidak perlu terlalu yakin dengan kemenangan. Adalah lebih baik untuk PKR dan PH berpuas hati untuk kekal sebagai pembangkang “bermaruah”.
Pada majlis berasingan, Nurul Izzah berkata, PH memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi atau dua pilihan raya umum sebelum boleh menawan semula Putrajaya.
Saifuddin dan Rafizi adalah pesaing yang mencabar jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR bulan depan.