Tak semestinya tanpa MoU, PRU15 akan diadakan, kata Anwar

 



Anwar Ibrahim menegaskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik
 dimeterai antara PH dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob,
 bukannya Umno. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan kerajaan akan cuba dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga 31 Julai ini.

Beliau berkata, PH terbuka untuk berbincang dengan Putrajaya, jika terdapat hasrat untuk meneruskan itu.Katanya, walaupun tanpa MoU itu, tidak semestinya bermakna pilihan raya umum (PRU) akan diadakan.

“MoU saya jelaskan, kita akan pastikan sehingga akhir Julai dan berunding kalau ingin diteruskan.

“Belum pasti kalau dengan tidak adanya (MoU) itu akan ada pilihan raya. Ini terpulang pendirian parti kerajaan dengan parti pembangkang, apakah keutamaan kita,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Beliau menegaskan MoU itu antara PH dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, bukannya Umno.

“Perundingan itu dengan perdana menteri dan pasukan dia. Umno boleh bagi pendapat dia. Cuma Umno dengan 40 kerusi BN itu, dia anggap dia sebagai (parti) pemerintah, dia tentukan semua.

“Saya nak nasihatkan mereka bahawa dalam mana-mana kerajaan, kita perlu lihat kekuatan kita dan harus terima kenyataan rundingan itu antara PH dengan PM.”

Beliau menjawab keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 14 April yang memutuskan MoU kerajaan dan PH tidak akan dilanjutkan selepas tamat pada 31 Julai ini.

Susulan itu, Ismail dilaporkan berkata, beliau akur dengan keputusan MKT Umno untuk tidak meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik selepas tamat tempohnya.

Calon PM

Anwar berkata, soal calon perdana menteri untuk PRU ke-15 bukan keutamaan PH.

Presiden PKR itu berkata, keutamaan PH ketika ini adalah mendekati dan membantu rakyat.

“Walaupun pada umumnya PKR sudah tahu calonnya, DAP juga sudah umumkan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam perbualannya dengan saya setakat ini tidak ada perubahan (calon perdana menteri).

“Tetapi saya fikir ia bukan satu kewajaran atau keutamaan sekarang ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada 14 April lalu, MKT Umno mengumumkan ia mencadangkan Ismail sebagai calon perdana menteri parti itu bagi menghadapi PRU15.

No comments: