JANGAN DIULANG PENGKHIANATAN LALU: KALAU SERIUS, SERTAILAH PH DAN BUKAN SEKADAR TUMPANG BERNAUNG MELALUI KHEMAH BESAR

 

Selagi tidak ada kata putus yang muktamad, isu khemah besar akan terus menjadi perdebatan yang terbuka dan menghangatkan dalam blok pembangkang.

Pihak yang mahu kepada idea khemah besar akan terus dengan hujah-hujah mereka, begitu juga mereka yang tidak setuju dengannya akan terus melontarkan sanggahan fakta.

Sementara ada kelompok pimpinan PH sendiri terlihat seperti akur dengan idea itu, tetapi jika dilihat di media sosial misalnya, ramai yang meluahkan rasa tidak setuju dengan pendekatan khemah besar itu.

Di kalangan pimpinan, sejak mengumumkan kembali ke pentas politik, hanya Rafizi Ramli yang begitu lantang menolak idea khemah besar tersebut.

Sebaliknya, bagi beliau, untuk menang dan mendapat undi dalam pilihan raya, PH perlu kembali menyantuni serta mendekati rakyat dengan memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan mereka.

Malah, beliau juga memperkenalkan Ayuh Malaysia bagi menarik minat sukarelawan dan merangsang pengundi atas pagar untuk mengambil bahagian dalam PRU15 akan datang.

Rafizi juga agresif dalam isu rasuah di mana beliau bukan saja menentang amalan tersebut, malah menyerang mereka yang terlibat dan pelakunya yang terkait dengan amalan tersebut.

Barangkali apa yang dilakukan Rafizi ini berbeza dengan sesetengah pihak dalam PKR dan PH sendiri di mana walaupun mereka juga menentang amalan rasuah, tetapi dilihat tidak pernah mengusik pelaku yang dikaitkan dengan rasuah seperti Najib Razak misalnya.

Seharusnya rasuah bukan saja mesti ditentang amalannya, bahkan pelakunya hendaklah juga lebih agresif ditentang kerana kadang-kadang pelaku itu pandai berlagak suci seperti Robin Hood yang kononnya berjuang membela orang miskin.

Pokoknya perlukah PH kepada khemah besar?

Jika dilihat secara teliti, semua parti yang ingin diajak bernaung di bawah khemah besar oleh PH itu adalah mereka lebih awal terlibat dengan pengkhinatan sebelum Langkah Sheraton lagi iaitu bersekongkol dengan usaha memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Jika dulu janji peralihan kuasa benar-benar dipatuhi dan tidak ada cubaan memungkirinya, pasti Langkah Sheraton tidak berlaku.

Dalam hal ini, kalau parti-parti tertentu dalam PH boleh menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana terlibat dalam peristiwa pengkhianatan Langkah Sheraton dan tikam belakang, kenapa pula mahu menjalin kerjasama dengan mereka yang lebih dulu pernah berlaku khianat?

Secara jujurnya, kalau demi untuk menang pilihan raya semata-mata maka kita sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja, termasuk mereka yang pernah bersikap khianat, lebih baik sejak awal lagi pergi bersama dan bersekongkol dengan mereka.

Tidakkah dengan bekerjasama semula dengan mereka yang pernah khianat itu akan menjadikan PH kelihatan sama-sama kotor di mata rakyat?

Lebih-lebih lagi jika melalui khemah besar itu hanya sekadar dalam bentuk kerjasama yang longgar saja.

Apa jaminan, setelah menang melalui naungan khemah besar yang ditawarkan oleh PH itu nanti, mereka tidak bersikap onar?

Begitu pun, dalam politik, semua kita sedar, tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi, tetapi setidak-setidaknya kalau pun ingin menawarkan kerjasama, ia bukanlah semata-mata untuk memberi mereka tempat bernaung.

Jika parti-parti di luar PH benar-benar serius mahu bekerjasama, sepatutnya bukan melalui pendekatan khemah besar, tetapi dengan memilih menyertai PH dan menerima Anwar sebagai pemimpinnya.

Pemimpin-pemimpin PH sendiri yang ketika ini dilihat galak dengan idea khemah besar itu seharusnya lebih agresif mempelawa, mengajak dan mempengaruhi semua parti-parti itu untuk menyertai PH secara rasmi daripada semata-mata bekerjasama secara longgar.

Khemah besar, tapi mereka bukan menjadi komponen PH, hanya mendedahkan kemungkinan berulangnya pengkhianatan. - ShahbudinHusin 18/04/2022.