'Kemuliaan seseorang kerana akhlak, bila nak mengundi akhlak tolak tepi kerana RM100?'


 

Pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor seharusnya memilih berdasarkan nilai nilai murni dan tidak memilih wakil rakyat secara semberono.

Nasihat itu diutarakan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah di DUN Larkin petang tadi.

Menurut beliau, mengapakah selepas mengetahui para pemimpin Umno BN bergelumang dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), gunakan wang rakyat berjudi, bermewah dan merasuah sesuka hati namun apabila tiba musim pilihan raya mereka diberi undi.

"Anak PM dulu pergi berjudi di Los Angeles pakai duit 1MDB. Tetapi ada tok lebai kata undilah Umno dan BN. Apa benda ini, kalau ya pun bagi lah teguran.

"Saya baca laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Ada disebut kalau nak judi kasino, kena beri akaun bank. Tarikh, nombor akaun itu (jejaknya) Los Angeles, Chicago, London, Singapura, 1MDB. Bayangkan, saya memang anggap mereka ini teruk, tetapi tak terfikir pemimpin Melayu yang laung 'hidup Melayu' seteruk itu (berjudi guna wang rakyat).

"Bayangkan.... kemuliaan seseorang itu kerana akhlaknya.

"Bila mari pilihan raya nak pilih orang kita (rakyat) tak peduli. Akhlak tak relevan, judi tak relevan, curi duit rakyat tak relevan. Jadi yang relevan apa? RM100 (sogokan). Itulah nilai manusia.

"Imam Syafie pernah menyatakan, kalau kita buat keputusan menilai orang dari apa diberi kepada kita untuk makan, nilai kita itu tidak lebih daripada apa yang keluar daripada kita (najis)," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata lagi, wakil rakyat yang perlu dilantik pengundi Larkin adalah yang boleh membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.

Wakil yang boleh membuat teguran, bukan seperti wakil BN perintah negara tetapi takut untuk mengarahkan konglomerat besar bayar ganti rugi apabila jerebu ancam kehidupan rakyat atau bayar ganti rugi apabila banjir balak rempuh rumah orang kampung.

"Bila soal kelapa sawit saya bangkitkan. Syarikat kelapa sawit untung bilion, pasal apa bila ada jerebu tak boleh bayar ganti rugi kepada rakyat?

"Pasal apa bila naik harga minyak masak syarikat untung bilion tak ada kuota kecil untuk pastikan orang tempatan B40 beli pada kadar murah? Ini soal dasar tetapi tak mampu PM Ismail Sabri nak lawan sebab dia tak berani lawan korporat kaya," katanya.

Justeru, Anwar menyeru pengundi DUN Larkin untuk mengangkat Dr Zamil sebagai wakil rakyat pada 12 Mac ini.

Katanya, kerusi itu pernah dipertimbangkan untuk Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang rajin berkerja di kawasan dan lantang di Parlimen. Namun katanya, Akmal mempunyai tugas sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN dan Dr zamil adalah pengganti yang terbaik.


No comments: