Rasanya ramai di antara kita boleh bersetuju dengan kenyataan Khairy Jamaluddin bahawa Hasni Mohamad dan Ismail Sabri adalah wajah sebenar BN bagi kempen PRN Johor ini.
Hasni adalah penyandang jawatan Menteri Besar Johor, manakala Ismail Sabri ialah Perdana Menteri.
“Poster boy kami di sini ialah Hasni dan pemimpin negara kami ialah Ismail Sabri dan saya dapat lihat pengundi juga melihatnya,” ujar Khairy atau KJ yang juga Menteri Kesihatan.
Tetapi, walaupun apa yang disebut KJ itu adalah fakta yang seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh BN ke arah mencari kejayaan dalam PRN Johor, entah mengapa, ia seperti tidak ditonjolkan.
Sebaliknya, yang ditonjolkan dan seolah-olah dijadikan ikon oleh BN bagi PRN Johor ini ialah Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang namanya tercatat dalam sejarah sebagai punca UMNO kehilangan kuasa pada PRU14 lalu serta sudah pun dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah.
Kenapa UMNO dan BN tidak memanfaatkan dengan sesungguhnya Ismail Sabri atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri?
Apa guna UMNO ada pemimpin yang memegang jawatan Perdana Menteri kalau kedudukan dan kelebihan itu tidak dimanfaatkan?
Kenapa juga Hasni sendiri yang bakal memimpin Johor seterusnya jika BN menang nanti turut tidak begitu ditonjolkan dan seolah-olah tidak menjadi keutamaan?
Mengapa mesti Najib yang terkait dengan skandal 1MDB yang menyebabkan negara ditimpa malu di seluruh dunia, mengakibatkan BN hilang kuasa serta sudah djatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah, terus mahu ditonjol dan diarak ke sana sini dalam PRN Johor ini?
Tidak rasa malukah UMNO dan dengan tindakannya yang sedemikian itu?
Bukankah dengan tindakan berlebihan menonjolkan Najib itu, UMNO dan BN sebenarnya telah mengamalkan gaya politik yang songsang?
Selain UMNO sepatutnya lebih memanfatkan Ismail Sabri dan Hasni atas kapasiti kedudukan kedua-duanya dalam kerajaan yang sudah pasti mempunyai nilai kelebihan di mata rakyat, melalui PRN Johor ini jugalah seharusnya menjadi peluang UMNO untuk memperlihatkan proses peremajaannya tetap menjadi keutamaan.
Dengan Ismail Sabri dan Hasni yang berusia di awal usia 60an dijadikan keutamaan, selain sedang memegang kedudukan dalam kerajaan, inilah sebenarnya proses peremajaan UMNO yang menjadi tonjolan serta kebanggaan untuk diketengahkan.
Bahkan, itulah proses peremajaan yang mahu dilihat oleh rakyat, bukan dengan UMNO mengamalkan gaya songsang ke belakang.
Gaya songsang ke belakang yang dilakukan sekarang yang terus menonjolkan Najib bukan ke arah meremajakan UMNO, sebaliknya menuakan lagi parti.
Orang tua yang pernah mendapat nikmat kedudukan, tetapi mensia-siakannya dengan karenah yang menjadi punca UMNO hilang kuasa, seterusnya telah termasuk dalam kategori kluster mahkamah, lebih wajar direhat dan dibersarakan daripada terus digeli-gelikan dengan penonjolan bak harapan untuk kembali memimpin semula kerajaan.
Pemimpin muda UMNO dan pelapis di bawah lebih patut disediakan lorong yang terbuka seluas-luasnya untuk mengambil alih kepimpinan. – ShahbudinHusin 06/03/2022.