APA GUNA BERANI MENDESAK PRU DISEGERAKAN JIKA UMNO SENDIRI TAKUT MENYEGERAKAN PEMILIHAN PARTI?

 

Sama ada PRU15 akan diadakan lebih awal atau dilangsungkan sehingga tamat tempoh penggal Parlimen pada Jun 2023, segala-galanya terpulang kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menentukannya.

Walau dilaporkan akan ada desakan berterusan tanpa mengira BN menang atau kalah dalam PRN Johor 12 Mac depan sebagaimana yang diungkapkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan bahawa desakan kepada Ismail Sabri akan tetap dilakukan, realitinya parti itu hanya ada kuasa mendesak dan menggertak saja.

Kata putus sama ada Yang Dipertuan Agong akan dinasihati untuk membubarkan Parlimen lebih awal atau tidak, kata putus akhir tetap di tangan Ismail Sabri.

Kalau Ismail Sabri enggan akur, apa UMNO nak buat?

Apakah Zahid Hamidi dan Najib Razak mahu mengetuai gerakan menjatuhkan Perdana Menteri sekali lagi sepertimana mereka melakukannya kepada Mahiaddin Md Yasin sebelum ini?

Apakah kali ini, jika itu pilihan yang diputuskan oleh UMNO, sudah tentu sebab utamanya ialah kerana Ismail Sabri enggan akur kepada desakan mengawalkan PRU15, Ahli-Ahli Parlimen BN akan kekal bersama dengan kehendak parti sebagaimana diutarakan Tok Mat itu?

Apa pula pandangan rakyat terhadap UMNO jika mereka sanggup menjatuhkan pemimpin sendiri daripada kerusi Perdana Menteri semata-mata kerana ingin memenuhi nafsu angkuh serta tamak kuasa?

Tok Mat yang beria-ia membuat desakan tersebut, oleh kerana dia bukan Ahli Parlimen, apa pula yang mampu dilakukannya selain mendesak di kedai kopi dan melalui media sosial?

Mengimbas sejarah Perdana Menteri daripada UMNO sebelum ini iaitu di era BN, tidak pernah sama sekali UMNO menceroboh prerogatif Perdana Menteri dengan membuat desakan berkenaan penentuan tarikh PRU.

Semua penentuan tarikh PRU adalah ditentukan oleh Perdana Menteri tanpa campurtangan atau desakan pihak lain dan sebab utama pastinya ialah kerana semua Perdana Menteri era BN ketika itu adalah juga memegang jawatan Presiden UMNO.

Tetapi, jika UMNO insaf diri tentang kedudukan mereka ketika ini dan belajar meminimakan keegoan serta kesombongan selepas ditolak rakyat pada PRU14 lalu, apa bezanya sama ada Perdana Menteri itu seorang Presiden UMNO atau sekadar Naib Presiden parti?

Tidak bolehkah Perdana Menteri yang hanya memegang jawatan Naib Presiden UMNO turut sama dihormati dan diberi kebebasan untuk menasihati Yang Dipertuan Agong membubarkan Parlimen seperti mana penghormatan yang diberi kepada Perdana Menteri yang memegang jawatan Presiden UMNO?

Kenapa UMNO kali ini mahu bersikap tidak wajar terhadap Perdana Menteri dengan ingin terus mendesaknya mengadakan PRU dengan lebih awal?

Begitu pun, apa pilihan yang terbaik buat UMNO sebenarnya?

Sementara berterusan mendesak agar Ismail Sabri jangan tunduk kepada desakan UMNO itu barangkali adalah suatu sikap yang keterlaluan dan seolah-olah mengajaknya tidak patuh kepada kehendak parti, yang terbaiknya ialah UMNO itu sendiri seharusnya lebih dulu menunjukkan jiwa besar membuka jalan kepada penyelesaian yang lebih harmoni.

Caranya tidak lain ialah dengan semua pimpinan UMNO menghentikan desakan PRU awal itu kerana ini akan membuatkan rakyat jadi meluat serta di ketika yang sama membenarkan pemilihan UMNO diadakan terlebih dahulu sebelum tempoh penggal Parlimen sekarang berakhir.

Jika dalam pemilihan UMNO itu nanti perwakilan UMNO menyokong Ismail Sabri mengambil alih kepimpinan parti, bermakna UMNO sendiri tidak mahu PRU diadakan lebih awal.

Ismail Sabri hanya relevan untuk akur kepada desakan agar mengadakan PRU lebih awal itu sekiranya beliau sendiri tidak sedia mengambil alih teraju kepimpinan UMNO dan setuju agar Zahid Hamidi kekal lagi memimpin parti.

Namun, perkara pokoknya ialah demokrasi dalam pemilihan UMNO harus dihidupkan terlebih dahulu.

Apa guna berani mendesak PRU awal jika sekiranya UMNO sendiri takut mengadakan pemilihan parti lebih awal? – ShahbudinHusin 05/03/2022.



No comments: