Permintaan rakyat ditunaikan jika kerajaan, menteri takut kalah





Pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor diingatkan untuk memilih KEADILAN dan Pakatan Harapan mentadbir Johor bagi memastikan suara mereka akan menjadi dasar negeri.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, sekiranya PH tidak menjadi kerajaan pun maka akan menjadi pembangkang yang kuat dan boleh mendesak Kerajaan Negeri untuk lebih menjaga rakyat.

"Pastikan kerajaan tunduk kepada rakyat jangan mudah beri kuasa. Kita kena ada suara yang berani untuk melawan.

"Suara sebagai pengimbang. Contohnya di Parlimen nak bagi pekerja gig ada perlindungan insurans (Perkeso). Saya tanya bila nak lulus undang undang penghantar makanan (ada Socso), diwajibkan kepada syarikat gig untuk melindungi pekerja secara automatik. Jawapnya (menteri) tak ada keperluan masa kini.

"Tetapi sesi Parlimen kali ini kita desak untuk perkenalkan Akta Anti Lompat Parti, siapa selepas ini kalau lompat mereka hilang kerusi.

"Jadi bila menteri takut dengan rakyat, baru mereka bertungkus lumus nak penuhi. Itulah peranan pembangkang," katanya ketika berkempen di DUN Johor Lama, malam tadi.

Katanya Nurul, di tengah tengah kebencian rakyat kepada ahli politik kerana sering berebut kuasa politik yang baik masih diperlukan untuk memastikan isu rakyat dibela.

"Kalau peringkat kami apa kami nak buat? Politik ini merupakan wadah yang kita boleh guna pakai untuk berkebajikan, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.

Selain itu, Nurul Izzah juga menempelak kerajaan BN yang tidak membenarkan pembangkang berkempen di saluran media arus perdana sedangkan calon calon kerajaan bebas dipromosikan.

Katanya, dalam suasana pandemik Covid 19 sepatutnya rakyat duduk di rumah menghadap televisyen dan melihat calon calon berkempen.