GENERASI MERDEKA HARUS AMBIL ALIH PIMPIN NEGARA INI

 

Apabila Ismail Sabri Yaakob yang berusia 62 tahun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri tahun lalu, ia adalah berita gembira buat generasi yang lahir selepas merdeka.

Sementara di negara-negara lain sudah ramai pemimpin yang lebih muda daripada beliau dipilih mengetuai kerajaan, di negara kita inilah pertama kali generasi merdeka iaitu yang lahir selepas kemerdekaan negara pada 1957 menjadi Perdana Menteri.

Dengan Ismail Sabri yang lahir pada tahun 1960 menjadi Perdana Menteri, semua parti-parti politik utama di negara ini juga harus terus bergerak ke hadapan dan tidak lagi menoleh ke belakang.

Dalam konteks UMNO, parti yang Ismail Sabri adalah Naib Presidennya serta mengetuai kerajaan, sekarang adalah masanya yang tepat untuk melakukan perubahan dalam pemilihannya yang akan datang nanti.

Selain Ismail Sabri atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri paling sesuai mengetuai UMNO, pemimpin generasi merdeka yang lain juga harus diberi tempat menyemarakkan perjuangan parti bersama-sama dengannya.

Mereka yang sudah tua atau yang lahir sebelum merdeka, apa lagi yang sudah pernah menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau mengetuai kerajaan negeri, eloklah segera mengundurkan diri bagi memberi peluang kepada generasi baru meneruskan perjuangan.

Lagi pun dengan dunia sekarang adalah dunia yang dikuasai oleh orang muda dan mereka yang berusia 18 tahun pun sudah boleh mengundi untuk memilih kerajaan, tampak tidak cocok lagi jika generasi tua terus mahu tercongok enggan melepaskan jawatan seolah-seolah tidak pernah puas dengan kuasa.

Sementara parti lain seperti DAP misalnya yang telah memilih Anthony Loke yang lahir pada tahun 1977 sebagai Setiausaha Agungnya yang baru menggantikan Lim Guan Eng, jika diperhatikan, kebanyakan parti-parti lain juga sedang bergerak ke arah yang sama.

Walaupun Mahiaddin Md Yasin masih memimpin Bersatu, tetapi orang nombor duanya, Ahmad Faizal Azumu atau Peja adalah generasi yang lahir selepas merdeka.

Memandangkan Mahiaddin pernah memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, adalah lebih cantik jika beliau juga segera berundur dan melepaskan tanggungjawabnya kepada timbalannya itu dalam pemilihan Bersatu yang akan datang nanti.

Tidak terkecuali dengan PKR, di sebalik Anwar Ibrahim masih aktif dan berupaya memimpin parti itu, tetapi dengan pengumuman Rafizi Ramli kembali aktif dalam politik sekaligus bertanding jawatan Timbalan Presiden, keterujaan ahli-ahli PKR dan rakyat meraikan beliau ternampak begitu hebat sekali.

Lebih-lebih lagi bersama kembalinya Rafizi itu, Nurul Izzah yang selama ini tidak aktif dan mendiamkan diri, dilihat turut sama ingin mewarnai semula kepimpinan PKR dan gandingan mereka seolah-olah sedang dipotretkan sebagai harapan parti di masa depan.

Kedua-dua anak muda generasi merdeka itu, bersama Anwar, adalah watak-watak yang merupakan “material” sebagai Perdana Menteri masa depan buat negara ini.

Sementara Anwar, di mana PRU15 akan datang barangkali adalah medan terakhirnya untuk berjuang menggapai kerusi Perdana Menteri, Rafizi dan Nurul Izzah adalah sosok pertaruhan tahun-tahun seterusnya bagi jawatan tersebut.

Apa yang nyata, apabila ada tiga pemimpin yang bermaterial Perdana Menteri berada dalam satu parti, sudah tentu tarikan dan keyakinan rakyat kepada PKR akan melonjak dengan sendirinya.

Amanah yang merupakan komponen PH juga semestinya tidak terkecuali daripada harus melakukan perubahan memenuhi tuntutan zaman di mana Salahuddin Ayub atau Husam Musa sebaik-baiknya dipersiapkan sebagai peneraju parti yang seterusnya.

Sama seperti Anwar, PRU15 nanti adalah medan terakhir buat Mohamad Sabu membenarkan dirinya aktif dalam politik untuk turut sama menyahut keperluan generasi merdeka memimpin Amanah selepas itu.

Daripada sebilangan parti-parti utama yang lain di negara ini, hanya Pas yang masih kelihatan terkepung dalam kepompong kepimpinan generasi sebelum merdeka di mana Presiden dan Timbalan Presidennya yang sedia ada masih kekal berwajah tua.

Tetapi, di lapisan kedua dan ketiga, Pas masih tidak kurang dengan barisan pemimpin generasi merdeka yang sebenarnya sudah patut ditonjolkan ke depan, sesuai dengan tuntutan zaman.

Begitu pun, baik Hadi Awang mahu pun Tuan Ibrahim Tuan Man, belum terlihat lagi tanda-tanda mereka mahu mengundurkan diri atau bersara, sebaliknya seperti tengah seronok menikmati “ghanimah” jawatan menteri dan bertaraf menteri dalam kerajaan.

Muda, sebagaimana kita tahu memang dipimpin oleh generasi muda dalam barisan kepimpinannya, manakala Pejuang terlihat ada wajah Mukhriz Mahathir sebagai peneraju generasi merdekanya.

Selain bapanya, Tun Mahathir Mohamad yang barangkali situasi kesihatan tidak lagi mengizinkan untuk terus aktif dalam politik, beliau juga sudah mengumumkan tidak akan bertanding lagi dalam PRU15 akan datang ini.

Maknanya, Pejuang pun sedang bergerak ke arah generasi merdeka mengetuainya.

Dalam hal ini, PRU15 harus menjadi medan terakhir untuk pemimpin yang lahir sebelum merdeka untuk bertanding dalam pilihan raya dan aktif dalam politik parti masing-masing.

Bersaralah dan biar generasi merdeka mengisinya pula!! – ShahbudinHusin 30/03/2022.



No comments: