BIARLAH SAIFUDDIN NASUTION TAWARKAN DIRI BERTANDING JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN


Saya terpanggil untuk mengulas tulisan Sdr Shahbuddin Hussin di mana beliau mencadangkan agar SUA Keadilan, Saifuddin Nasution untuk memberi laluan kepada Sdr Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti tidak beberapa lama lagi.
Hujah yang diberi oleh Shahbuddin berkisar kepada kebolehan Rafizi di dalam beberapa aspek. Saya tidak mahu mengulas tentang kebolehan seseorang kerana bagi saya setiap orang ada kelebihan masing-masing.
Atas hujah yang sama, saya juga berpendirian betapa perlunya Saifuddin Nasution masuk bertanding kerana terdapat juga ahli-ahli Keadilan yang mahu insan seperti Saifuddin yang penuh setia kepada parti, setia dan beradab dengan Presiden dan memiliki disiplin yang tinggi serta berjaya mempamerkan prestasi yang cemerlang sebagai menteri suatu ketika dahulu, wajar diangkat menjadi orang kedua di dalam parti. Prestasi beliau di dalam parlimen juga amat membanggakan di dalam membawa suara rakyat.
Sikap Saifuddin Nasution yang sentiasa tabah, bersabar dan istiqomah merupakan di antara ciri-ciri seorang pemimpin. Beliau pernah tewas bertanding jawatan Timbalan Presiden sewaktu pertandingan tiga penjuru bersama TS Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Meskipun tewas, beliau meneruskan khidmatnya kepada parti dan menerima keputusan pemilihan. Apa jua jawatan yang diamanahkan oleh Presiden, beliau tidak pernah menolaknya dan dipikul sebaik mungkin.
Semenjak ketiadaan Timbalan Presiden selepas Azmin khianat, banyak tugas-tugas yang lazimnya dibuat oleh Timbalan Presiden telah diletakkan di atas bahu Saifuddin. Maka, bagi saya adillah bagi Saifuddin untuk menawarkan diri bagi beliau memegang jawatan tersebut.
Saya percaya dalam jiwa saifuddin masih ada jiwa politik. Kita mahu beliau bertanding kerana kita telah melihat sikap dan peranannya di dalam membantu parti. Dia tidak pernah meninggalkan parti atau cabang, jauh sekali meninggalkan Presiden waktu susah, senang dan kini susah kembali.
Biarlah demokrasi berjalan dengan baik. Apa yang penting, sesiapa pun yang dipilih, itulah pilihan ahli-ahli parti. Semoga yang menang tidak rakus dan bolot semua, dan yang kalah jangan meminggirkan diri. Bagi saya, keputusan pemilihan tetap saya hormati.
WFAUZDIN NS
May be an image of 1 person

No comments: