Rakyat terus desak bahas Pandora Papers, tubuh suruhajaya siasatan
Rakyat Malaysia keliru dan kecewa terhadap sikap Yang Dipertua Dewan Rakyat apabila menolak usul Ketua Pembangkang untuk membahaskan skandal Pandora Papers.
Menurut Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, usul yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim amat serius dan tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya sehingga 3 kali oleh Speaker.
“Jingga 13 Malaysia merasa amat musykil dan kecewa dengan sikap Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga dilihat bersikap bias kepada para penyangak, perompak dan penyamun serta pemimpin dan VVIP yang memunggah keluar wang rakyat untuk disimpan di luar negara.
“Transaksi ini melibatkan duit negara bernilai lebih RM 1.8 trilion. Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak wajar mempertahankan mereka.
“Dalam saat rakyat kelaparan, pengangguran, jurang kemiskinan semakin melebar, hidup dalam kesusahan dan kepayahan sudah pasti mereka merasa amat kecewa pemimpin-pemimpin dan VVIP di negara ini boleh memunggah serta menyimpan kekayaan luar biasa di luar negara .
“Rakyat Malaysia hendak mengetahui kenapa wang tersebut boleh dikeluarkan (diseludup) sebegitu banyak? Bagaimana seorang menteri, bekas menteri atau VVIP boleh memiliki wang sebegitu banyak dan disembunyikan di luar negara? Para pengkhianat dan perompak ini wajar dibicarakan dan dihukum,” katanya.
Tegas Fariz, sekiranya Speaker Dewan Rakyat dengan sengaja memekakkan teliga untuk tidak mahu mendengar perbahasan Pandora Papers maka secara bermaruah beliau hendaklah meletakkan jawatan.
Selain itu, Fariz juga mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyelesaikan skandal terbesar dalam sejarah negara berkenaan.
“Jingga13 Malaysia mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri agar segera mewujudkan Suruhanjaya Diraja atau membuka Kertas Putih bagi menyiasat isu ini.
“Seandainya benar Perdana Menteri dan Kerajaan Keluarga Malaysia menentang rasuah, penyelewengan, berintegriti maka siasatan perlu dilakukan. Jika tidak ungkapan hanyalah sekadar retorik semata-mata dan meneruskan legasi kegagalan kerajaan PN yang lalu
“Jingga13 Malaysia berdiri teguh di belakang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat membuka ruang untuk membahas usul tersebut demi rakyat dan negara Malaysia tercinta,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Jingga13 Malaysia menyeru rakyat untuk terus mendesak Speaker dan Kerajaan Keluarga Malaysia untuk menyiasat Pandora Papers dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengkhianat negara serta mengembalikan wang negara yang hilang.