Tular rakaman video kapal makhluk asing didakwa menjunam jatuh dari langit

 

rakaman

Tular rakaman video kapal makhluk asing didakwa menjunam jatuh dari langit. Sebuah klip video memaparkan rakaman objek terbang tidak dikenali (UFO) menjadi tular di media sosial dengan ramai pengguna berpendapat ia rakaman tulen yang boleh dipercayai, lapor akhbar Daily Star semalam.

Dalam klip video dirakam menggunakan teropong penglihatan malam oleh individu bernama Xan Bernardo itu, sebuah bebola besar dilihat berlegar-legar di langit bandar Azpeitia, Sepanyol.


Klip video itu dikongsikan di YouTube saluran The Hidden Underbelly 2.0 yang menyifatkan rakaman itu sebagai hebat.

“Objek itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sebaliknya perlu menggunakan teropong penglihatan malam.

“Kami melihat objek tersebut berlegar-legar dan secara tiba-tiba ia menjunam ke bawah dengan pantas.

“Bagi saya, pergerakan itu sukar dilakukan oleh mana-mana objek lain,” kata keterangan pada video tersebut.

Video rakaman itu ditonton sebanyak beratus-ratus kali dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna dengan ramai yang berpendapat bahawa ia adalah kapal angkasa makhluk asing.

“Amat menarik terutamanya cara ia menjunam ke bawah. Ia juga kelihatan seperti hilang begitu sahaja,” kata seorang pengguna.

“Bagi saya, ia kelihatan seperti hologram,” kata seorang pengguna yang skeptikal.

No comments: