PH kesal PM tak iktiraf kecuali bayaran faedah moratorium dalam MoU



Pengiktirafan peranan MoU menjeaskan keyakinan PH terhadap kerajaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) kesal Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak mengiktiraf dasar pengecualian bayaran faedah moratorium sebagai perkara yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU).

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama berkata, pengecualian ini digambarkan sebagai idea kerajaan, walhal ia adalah pendirian konsisten PH yang dilaksana dalam semangat menunaikan perkara yang terkandung dalam MoU.

Kenyataan bersama itu melibatkan tiga pemimpin tertinggi PH, iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Katanya lagi, pada awalnya kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan PH untuk memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam dari kelompok B50.

Justeru untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, pimpinan utama PH telah mengadakan siri pertemuan bukan sahaja bersama Menteri Kewangan malah juga dengan Ketua Pegawai Eksekutif bank komersial.

“Walaupun pada mulanya terdapat kebimbangan daripada bank, namun setelah siri libat urus ini berjalan dan pandangan pimpinan Pakatan Harapan disampaikan dengan jelas.

“Perdana Menteri telah bersetuju dengan pendirian kami dan akhirnya dasar ini dapat dilaksana.”

Bagaimanapun PH tetap menyambut baik persetujuan Perdana Menteri terhadap tuntutan Pakatan Harapan pengecualian faedah selama tiga bulan dan pengurangan bayaran ansuran ditawarkan kepada peminjam B50 seperti yang terkandung dalam MoU.

“Pelaksanaan Perkara 1.7 MOU ini merupakan satu kemenangan untuk rakyat,” kata PH.