MoU dimuktamadkan: Kerajaan dan PH tandatangani MoU di Parlimen esok

 

Rahimah Abdullah
MoU dimuktamadkan: Kerajaan dan PH tandatangani MoU di Parlimen esok
Wakil-wakil pihak Kerajaan dan Pakatan Harapan pada hari ini telah memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan.
KUALA LUMPUR: Setelah mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil-wakil pihak Kerajaan dan Pakatan Harapan pada hari ini telah memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan.
Menerusi satu kenyataan pada Ahad, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman ini pada esok jam 5 petang di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua-Ketua Parti Pakatan Harapan iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Kenyataan bersama itu juga menyebut, semua pihak telah bersetuju bahawa memorandum persefahaman ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara “dwipartisan“.
"Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi parlimen," kata kenyataan itu lagi.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

No comments: