Perluas reformasi institusi kepada semua Ahli Parlimen pembangkang, kata BERSIH


BERSIH 2.0 mengalu-alukan janji untuk menerbitkan butiran persefahaman semasa majlis menandatangannya.

PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH 2.0 berharap reformasi institusi yang dicadangkan oleh kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dalam memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani hari ini dapat dipanjangkan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang.

“Kami mengharapkan manfaat reformasi institusi termasuklah Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan perwakilan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) akan dipanjangkan juga kepada semua Ahli Parlimen pembangkang, bukan terhad kepada PH saja,” katanya.

“Kami mendapati parti lain di kerusi pembangkang, iaitu Warisan, Pejuang, PSB dan Ahli Parlimen (MP) bebas tidak dilibat dalam MoU. Kami tidak tahu sama ada mereka dijemput atau tidak.”

Dalam kenyataan bersama malam tadi, wakil kerajaan dan PH berkata, mereka bersetuju untuk bekerjasama dalam semangat bipartisan bagi mengembalikan kestabilan politik sementara kerajaan mengurus pandemik Covid-19 dan membantu meningkatkan pemulihan ekonomi.

Antara lain kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan had tempoh jawatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun, menggubal rang undang-undang antilompat parti, melaksanakan pindaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan melibatkan Ahli Parlimen pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Memorandum itu akan ditandatangani oleh perdana menteri, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau pada 5 petang.

Menyifatkannya sebagai “pencapaian yang jarang berlaku antara kerajaan dan pembangkang” dalam politik negara yang menyaksikan semangat rentas parti diutamakan berbanding retorik buruk, tindakan bersendirian dan politiking yang tidak berkesudahan, BERSIH 2.0 juga mengalu-alukan janji untuk menerbitkan butiran persefahaman itu semasa majlis tandatangan.

Katanya, rakyat bukan sahaja dapat menjadi saksi kepada perjanjian tersebut, malah dapat mempertanggungjawabkan mereka untuk memenuhi terma yang dijanjikan.

Menekankan bahawa reformasi institusi itu akan menjamin semua parti bersaing secara adil, BERSIH 2.0 berkata, ia juga mempunyai semak dan imbang yang mencukupi untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dan korupsi.

“Sebarang reformasi institusi yang dicapai daripada MoU ini akan memanfaatkan semua parti politik hari yang akan datang kerana ia akan meratakan padang permainan politik dan mula menamatkan situasi pemenang mendapat semua.

“Dalam demokrasi, ahli politik perlu bersaing sesama sendiri untuk menghasilkan polisi yang lebih baik dan undang-undang yang akan menaikkan taraf hidup rakyat,” katanya.

No comments: