Kelembapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi bantuan kepada
sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyebabkan pertumbuhan sektor itu
merosot teruk pada tahun ini dan tahun lalu.
Menurut Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, Berdasarkan
laporan terbaru yang dipaparkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan
ekonomi untuk PKS telah menyusut sebanyak 7.30 % pada tahun 2020, berbanding
penyusutan pertumbuhan negara sebanyak 5.6% dan kategori bukan PKS iaitu 4.6%,
yang akan menjejaskan ekonomi Malaysia kerana PKS merupakan industri menyumbang
kepada hampir 50% pekerjaan.
"Kegagalan Kerajaan PN menghulurkan bantuan yang berkesan dan
tepat menyebabkan berlaku gelombang penutupan PKS dan kadar pengangguran
melambung tinggi.
"Dalam 15 tahun kebelakangan ini, pertumbuhan PKS lebih
tinggi berbanding kategori bukan PKS kecuali pada tahun 2020. Penyusutan yang
mendadak tersebut adalah satu amaran penting untuk kita.
"Menggunakan 1.15 juta PKS di negara kita pada tahun 2020
sebagai kiraan, ia bermaksud pendapatan setiap PKS telah menurun sebanyak RM
35,000 secara purata.
"Antaranya, PKS bidang pembinaan dan perkhidmatan paling
teruk terjejas dengan penyusutan nilai keluaran sebanyak 15.4% dan 9.2%,"
katanya.
Bagi Adun Semambu itu, meskipun sumbangan PKS dari segi pendapatan
negara tidak sebanyak firma besar atau pelaburan langsung asing, namun PKS
adalah sumber utama pekerjaan dan pendapatan kebanyakan rakyat.
Katanya, walaupun PKS hanya menyumbangkan 39% daripada keseluruhan
Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi ia merupakan 99% daripada
keseluruhan perusahaan di negara ini dan 48.8% tenaga kerja adalah dalam sektor
PKS.
"Kesan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 telah menyebabkan
jumlah pekerja yang diambil PKS mencatat penyusutan pertama kali sejak beberapa
tahun, dengan pengurangan sebanyak 65,000 orang tenaga kerja," katanya.
Tambah Lee, Kerajaan Perikatan Nasional terkhilaf kerana
mengabaikan kelangsungan PKS dengan memberi tekanan membabi buta,
mengklasifikasikan sektor yang boleh beroperasi mengikut sektor perlu dan tidak
perlu. Tindakan tersebut, katanya menyebabkan PKS enggan mengambil pekerja
baharu dan meledakkan kadar pengangguran
Kata beliau, sepanjang tempoh pandemik, rakyat hanya melihat
Menteri Perdagangan dan Industri Azmin Ali lebih sibuk menarik pelaburan asing
dan membuka pintu belakang untuk firma besar daripada menjengok nasib usahawan
PKS.
"Sekatan terhadap sektor ekonomi yang telah beberapa kali
dibuka dan ditutup dalam tempoh dan hanya disedari oleh Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi dengan mengeluarkan kenyataan berkaitan PKS
pada 28 Julai lalu. Tidakkah ia membuktikan bahawa Kerajaan PN hanya
mementingkan 1% firma besar berbanding dengan 99% PKS?
"Ketidakberdayaan PKS dalam memerangi pandemik ini, termasuk
dengan amalan dua darjat yang berlaku di kalangan pegawai penguatkuasa
undang-undang, kesukaran dalam permohonan pinjaman pembiayaan dan sebagainya
adalah realiti dan fakta yang terbuka dan diketahui semua," katanya.
Menurut Lee lagi, pada awal bulan Jun, Persatuan Perusahaan Kecil
dan Serdahana (SME Association) telah memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya
40% PKS akan ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.
Namun sehingga ke hari ini, selain bantuan kewangan yang tidak
seberapa dan penundaan pinjaman, Kerajaan PN masih juga tidak memberikan
sebarang dasar atau pelan pemulihan untuk menyelamatkan PKS yang dalam keadaan
nazak.
"Saya mencadang agar Kerajaan berhenti menentukan sektor
ekonomi yang dibenarkan beroperasi dengan perkhidmatan perlu dan tidak perlu.
"Sebaliknya, secara saintifik menggunakan data pandemik yang
lalu untuk mengklasifikasikan sektor ekonomi berisiko tinggi dan rendah untuk
menetapkan Prosedur Operasi Standard dan menentukan pengoperasian sesebuah
sektor.
"Dalam situasi yang tertentu, Kerajaan tidak perlu untuk
berpura-pura mereka maha mengetahui. Contohnya, pemilik kedai gunting rambut,
salon kecantikan dan kedai aksesori kereta pasti lebih berhati-hati dalam
mencegah penularan wabak.
"Ini kerana, sekiranya penularan berlaku di premis mereka,
pastinya akan menjejas reputasi yang akan menyebabkan penutupan atau kemuflisan
pada bila-bila masa sahaja," katanya.
Sehubungan itu, Lee mengusulkan agar Kerajaan segera menyediakan
pelan dan peta pemulihan bagi setiap sektor PKS yang berbeza serta kemudahan
dan bantuan yang boleh diberikan oleh Kerajaan.
Hal itu, katanya akan melindungi mata pencarian setiap orang.
"Sektor pembinaan, makanan dan minuman, perkhidmatan dan
rekreasi serta sektor yang paling akhir dibenarkan beroperasi sepatutnya
mendapatkan bantuan yang lebih besar.
"Kerajaan juga perlu membuat pindaan undang-undang untuk skim
bekerja dari rumah, memudahcarakan dan mengurangkan karenah permohonan pinjaman
dan bantuan, mengecualikan kos pendaftaran perniagaan dan lesen, menentukan
sektor-sektor yang kemungkinan berkembang pesat selepas pandemik ini.
"Saya meragui bahawa pemulihan PKS tidak termasuk dalam
agenda utama kabinet dan Majlis Pemulihan Negara. Di saat majoriti PKS di
negara kita dan pekerja yang bergantung kepada PKS untuk mencari nafkah di
tahap nyawa-nyawa ikan, rakyat pula melihat Kerajaan PN sibuk membuka dan
menutup Parlimen untuk mengekalkan kuasanya," sinis Lee lagi.