MAHIADDIN ADALAH BALA SEBENAR BAGI MALAYSIA

 

Ketika Najib Razak jadi Perdana Menteri, ramai di antara kita ketika itu berasa malu menjadi warganegara Malaysia.

Skandal 1MDB dan pelbagai karenah Rosmah Mansor sebagai isteri Perdana Menteri yang terpapar dalam hampir semua media adalah antara dua isu yang menyumbang kepada perkara itu.

Ke mana-mana saja kita pergi, isu berkaitan 1MDB dan Rosmah tidak pernah lekang menjadi pokok perbualan serta perbincangan yang tidak berkesudahan di kalangan orang ramai.

Setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan pasti ada saja isu-isu baru yang timbul berkaitan 1MDB dan Rosmah yang bukan saja disiarkan di media nasional, bahkan menjangkau ke peringkat internasional.

Skandal 1MDB dan Rosmah boleh dikata mencetus nama yang buruk bagi negara sehingga ada di antara mereka yang ke luar negara tidak mahu mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia.

Mereka sebaliknya lebih selesa mengaku datang daripada Brunei atau Singapura.

Namun demikian, itulah yang kemudiannya mendorong rakyat berazam kuat untuk menjatuhkan BN dan menamatkan era pentadbiran Najib.

Alhamdulillah, berkat penyatuan rakyat, BN akhirnya berjaya ditumbangkan pada PRU 2018.

Walaupun PH yang menjadi kerajaan selepas itu tidak lama tempohnya iaitu hanya selama 22 bulan dan banyak masalah yang timbul sepanjang tempoh tersebut lebih disebabkan ketidakjujuran Tun Mahathir Mohamad yang mempunyai agenda peribadi terlalu tinggi, selain tidak berpegang pada janji, tetapi kejayaan mengakhiri penguasaan BN tetap suatu sejarah manis yang banyak baiknya untuk rakyat serta negara.

Jika BN tidak ditumbangkan dan Najib masih Perdana Menteri lagi, kita mungkin sukar membayangkan bagaimana tambah bergayanya Jho Low dan Rosmah sehingga ke hari ini.

Itu belum termasuk lagi puluhan pegawai-pegawai Najib yang kerana kalahnya BN itu, maka bekas Perdana Menteri itu sendiri pada hari ini kenal siapa di antara mereka yang benar-benar setia serta mengenang budi dan siapa yang hanya menempek untuk mencari kekayaan semata-mata, lalu sanggup menikamnya semula.

Apabila kuasa PH berakhir yang kemudian digantikan oleh PN melalui pengkhianatan dan pintu belakang, Mahiaddin Md Yasin akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selama 15 bulan PN berkuasa sehingga ini, meskipun Mahiaddin tidak terlibat dengan skandal mega seperti 1MDB misalnya dan isteri beliau juga tidak seperti Rosmah, tetapi pemerintahannya terlalu banyak kecerlaruan dan caca marba sehingga membuatkan rakyat meluat serta menyampah dengannya.

Tidak cukup dengan sentiasa berselindung di sebalik Covid19 untuk mengekalkan kuasanya, yang terbaru pula sanggup menangguhkan Parlimen pada Isnin depan pun melalui alasan yang sama.

Sudahlah tiada keabsahan dan mendatangkan banyak kesusahan, Mahiaddin juga terlihat sanggup derhaka beberapa kali terhadap titah Yang Dipertuan Agong dek kerana bimbang kuasa dalam genggamannya terlepas daripada tangan.

Bagi rakyat, tindakan derhaka berkali-kali sehingga Agong berasa amat dukacita lantaran diketepikan dalam keputusan kerajaan membatalkan darurat, seterusnya disertai warkah peribadi baginda untuk menjawab kenyataan media PMO, semua itu adalah gambaran kerajaan yang tidak layak untuk mentadbir negara.

Kerajaan tidak seharusnya berbalah dengan Agong selaku Ketua Negara, bahkan sehingga baginda menggunakan ganti nama Beta dalam warkah peribadinya menjawab kenyataan media PMO, ia ialah langkah yang menunjukkan Agong ingin memberitahu Perdana Menteri bahawa baginda adalah Raja dan Ketua Negara bagi Malaysia.

Berbalah dengan istana sehingga menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan, disertai dengan tindakan menafikan peranan Parlimen melalui darurat dan kemudian menangguhkan sidang Isnin depan lantaran bimbang asakan blok pembangkang, Mahiaddin sebenarnya telah mempertaruhkan nasib rakyat demi kepentingan peribadi dan jawatan semata-mata.

Sepatutnya, dalam amalan demokrasi, beliau harus sentiasa terbuka dan berlapang dada untuk diuji keabsahan dan sokongan yang dimilikinya di mana kalau lulus ujian, kekallah menjadi Perdana Menteri dan jika gagal, harusnya sedia untuk berundur.

Demokrasi bukan laluan untuk Perdana Menteri berdalih kerana takut dan bacul berdepan realiti dijatuhkan.

Lantaran sudah berkali-kali berdalih dan dan mengelak untuk kedudukannya diuji, tahap meluat dan menyampah rakyat kini sedang memuncak terhadapnya.

Kalau dengan mengelak dan berdalih itu kerana beliau seorang Perdana Menteri yang hebat, mampu membuatkan rakyat gembira dan negara sentiasa sejahtera, tidak mengapalah juga.

Ini tidak, sementara bermati-matian mempertahankan jawatannya itu, rakyat sebaliknya makin sengsara dengan kes bunuh diri dan kematian terus mencatat angka yang tinggi setiap hari.

Lalu, di mana logiknya Mahiaddin mahu terus bertahan lagi?

Di dalam negara, kelakuan Mahiaddin sekarang ini tidak kurang membuatkan rakyat mula rasa malu dan meluat dengan perangainya.

Kalau di era Najib, ramai yang malu mengaku sebagai warganegara Malaysia berikutan isu dalam negara telah membusuk hingga ke merata dunia, di era Mahiaddin pula lebih ramai yang mahu berpindah ke luar negara.

Ramai yang kini malu berperdana-menterikan Mahiaddin yang langsung tiada perasaan malu untuk terus kekal berkuasa, walau tiada keabsahan, mengguna pelbagai helah untuk menutup Parlimen, menjadikan Covid19 sebagai alasan dan sehingga sanggup derhaka kepada Raja.

Celaru dan huru-haranya negara ini tidak lain adalah disebabkan ketidakmampuan dan kegagalannya, ditambah-buruk lagi kerana beliau punya muka tak malu yang enggan menyedari bahawa dianya adalah seburuk-buruk Perdana Menteri berbanding semua pendahulunya.

Negara di bawah kepimpinannya sedang bergerak ke belakang dengan langsung tiada kemajuan dan rekod baik sejak 15 bulan lalu.

Berbanding Covid19, bala sebenar bagi kita sebenarnya ialah Mahiaddin itu sendiri. 


(ShahbudinHusin 01/08/2021)



No comments: