KENYATAAN MEDIA ANWAR IBRAHIM : Anwar Ibrahim: Apa Yang Telah Dilakukan Kerajaan Bagi Meyakinkan Rakyat ...



KENYATAAN MEDIA - 17 April 2021 Pada hari Jumaat yang lalu Malaysia melaporkan sebanyak 2,551 jumlah kes jangkitan COVID-19 yang baru. Angka terkini ini adalah sesudah 395 hari tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hampir 100 hari sejak Pengisytiharan Darurat diumumkan. Sejujurnya pelaksanaan PKP adalah kegagalan yang nyata. Darurat hanya helah pemerintah untuk terus berpaut pada kuasa. Rencana vaksinasi juga tidak jelas dan lembab. Sikap kerajaan ini dalam mengemudi negara saat wabak dapat dikelaskan kepada dua kategori. Bila ia berjalan lancar, percayalah kami sedang menanganinya. Jika tidak, pemerintah akan bingkas menyalahkan rakyat. Namun, tidak akan ada sebarang kebertanggungjawaban kepada para pemimpin yang bertanggungjawab dalam merencana dan melaksana kebijakan, mendapatkan vaksin, dan juga memastikan agar rencana vaksinasi berjalan pantas dan dengan berkesan. Inilah hasilnya bila sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat yang menyalahguna wabak dan Perlembagaan untuk berpaut pada kuasa. Dalam hari-hari mendatang ini saya mengjangkakan rakyat akan terus dibuli kerana melanggar SOP dengan beberapa pengumuman yang mengelirukan, yang sekiranya dilanggar akan dikenakan denda yang melampau tinggi. Beberapa pengumuman yang mengelirukan ini juga termasuk larangan rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, meski para menteri akan dibenarkan merentas negeri dan menganjurkan majlis. Saya menggesa kerajaan untuk memberi respon pada persoalan-persoalan ini: 1. Menteri bertanggungjawab menjaga hal vaksin mengatakan bekalan vaksin Malaysia rendah kerana negara-negara kaya mengawal pasaran. Hal ini mustahil untuk disahkan, kecuali terdapat ketelusan dalam proses pemerolehan. Sangat mengecewakan apabila alasan semacam ini digunakan bagi menutup kelemahan tatakelola tatkala Malaysia kini sedang berusaha mahu menjadi negara yang maju dan yang berpendapatan tinggi. Memandangkan negara berpendapatan sederhana yang lain menunjukkan kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan cemerlang, alasan menteri tersebut kekal lemah sehingga fakta diketahui. Alasan alternatif tentang mengapa Malaysia mempunyai bekalan vaksin yang rendah adalah kerajaan lambat bertindak untuk mendapatkan kontrak atau rundingan dengan pembekal menemui kegagalan, dan sudahnya kita di barisan akhir untuk mendapatkan vaksin. 2. Menteri tersebut juga mendakwa Malaysia mampu mencapai 80% kadar vaksinasi sebelum penghujung tahun ini. Tetapi kadar vaksinasi di Malaysia lembab, dan tidak meningkat sejak ia diumumkan pada bulan Februari yang lalu dengan anggaran sebanyak 24,000 dos sahaja sehari ketimbang 13 negara berpendapatan sederhana di rantau Asia. Kita juga meminta pengesahan terkait keupayaan logistik di seluruh Malaysia bagi mencapai 210,000 dos sehari. Ini juga termasuk penyelarasan dengan hospital, fasiliti kesihatan, klinik-klinik awam dan farmasi. Rencana ini mesti dikongsikan, jika tidak kepada rakyat sekalipun ia mesti dikongsikan kepada jawatankuasa bipartisan. 3. Mengapa dengan penutupan sempadan dan tahap kuarantin yang ketat kita masih dikesankan dengan mutasi wabak yang berbahaya di Malaysia? Penutupan sempadan telah memberi kesan yang sangat besar pada ekonomi dengan alasan untuk menyelamatkan nyawa. Sekiranya penutupan sempadan ini tidak diuruskan dengan baik, maka kita sedang mengorbankan ekonomi kita tanpa manfaat yang munasabah. 4. Apa kemaskini terbaru terkait dalam hal memastikan sektor swasta bertanggungjawab atas penularan wabak COVID-19 di kalangan pekerja asing? 5. Pendaftaran untuk vaksinasi juga rendah, dan ini menambah kebimbangan apakah imuniti kelompok mampu dicapai pada hujung tahun ini. Apa yang telah dilakukan kerajaan setakat ini bagi meyakinkan rakyat untuk mendapatkan vaksin? 6. Apa metrik yang digunakan oleh jawatankuasa bipartisan dalam kesungguhannya untuk mengesyorkan penamatan darurat? Saya menggesa rakyat untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin. Saya menggesa rakyat Malaysia, termasuk yang telah mendapatkan vaksin, untuk terus patuh SOP demi kebaikan semua. Berdepan dengan keadaan wabak dan ketidaktentuan hari ini, kita mesti terus berjaga-jaga dan jangan berputus asa. ANWAR IBRAHIM




No comments: