Anwar hentam ‘kegagalan nyata’ PN menangani krisis Covid-19

 

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan bahawa rakyat sudah melalui 395 hari bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dan hampir 100 hari bawah perintah darurat.

PETALING JAYA: Di kala jangkitan Covid-19 semakin menular kebelakangan ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengecam apa yang disifatkan beliau sebagai kegagalan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional mengekang wabak itu.

“Sejujurnya pelaksanaan PKP adalah kegagalan yang nyata. Darurat hanya helah pemerintah untuk terus berpaut pada kuasa. Rencana vaksinasi juga tidak jelas dan lembab,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan bahawa rakyat sudah melalui 395 hari bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dan hampir 100 hari bawah perintah darurat.

Sebanyak 2,551 kes baharu Covid-19 dicatatkan di seluruh negara semalam, manakala hari ini, 2,331 kes baharu serta lima kematian dilaporkan.

Anwar, yang juga presiden PKR, meminta kerajaan menjawab persoalan berhubung ketidaktelusan dalam perolehan vaksin dan kadar pengagihan vaksin yang perlahan, di kala negara-negara berpendapatan sederhana yang lain berlumba-lumba untuk memvaksinasi rakyat mereka.

Beliau menyifatkan alasan bekalan vaksin kurang sebagai mengecewakan ketika Malaysia kini sedang berusaha menjadi negara yang maju dan berpendapatan tinggi.

Baru-baru ini, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata, bekalan vaksin untuk Malaysia kurang kerana ia telah didominasi negara-negara berpendapatan tinggi.

Namun, Anwar mempertikaikan alasan Khairy dengan berkata, ini mustahil untuk disahkan “kecuali terdapat ketelusan dalam proses pemerolehan”.

Berkenaan kadar vaksinasi yang perlahan, Anwar juga mempersoalkan kemampuan logistik negara, termasuk koordinasi dengan hospital, fasiliti rawatan, klinik kesihatan awam, pengamal perubatan am dan farmasi, untuk menguruskan 210,000 dos sehari, yang diperlukan untuk memvaksinasi 80% daripada populasi negara menjelang akhir tahun.

Kata beliau, pelan koordinasi ini sepatutnya dikongsi dengan jawatankuasa bipartisan Covid-19, sekalipun tidak didedahkan kepada umum.

Beliau juga bertanya tentang rancangan kerajaan untuk meyakinkan rakyat menerima vaksin, memandangkan jumlah pendaftaran masih rendah.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan mengapa strain virus yang berbahaya masih dikesan di negara dengan walaupun sempadan ditutup dan kuarantin pada tahap yang ketat.

“Penutupan sempadan telah memberi kesan yang sangat besar pada ekonomi dengan alasan untuk menyelamatkan nyawa.

“Sekiranya penutupan sempadan ini tidak diuruskan dengan baik, maka kita sedang mengorbankan ekonomi kita tanpa manfaat yang munasabah,” kata beliau.


No comments: