1,684 penghantar makanan maut, kerajaan perlu sediakan pekerjaan lebih baik

 



POSTED BY AMIR WRLR


Kematian 1,684 penghantar makanan sepanjang 9 bulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tahun 2020 lalu sebagaimana dilapor media, amat menyedihkan.

Ketua Wanita KEADILAN Perak, Junaida Jamaludin berkata, tidak sewajarnya sebegitu banyak belia maut ketika bekerja sebagai penghantar makanan.

Baginya, kerajaan perlu menyediakan garis panduan yang lebih baik untuk khidmat penghantar makanan atau menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan selamat kepada anak muda.

"Sangat mendukacitakan bila menerima berita sedih 1,684 penghantar makanan maut sepanjang 9 bulan tempoh PKP 2020. Bilangan ini bukanlah jumlah yang sedikit. Saya percaya rata-rata yang menjadi penghantar makanan adalah anak muda dalam lingkungan umur 19 hingga 35 tahun.

"Kehilangan nyawa rakyat bukanlah perkara enteng. Ianya harus dipertanggungjawabkan ke atas pundak kerajaan. Kerajaan PN sangat lemah sehingga mereka gagal menyediakan platform untuk anak muda menjana pendapatan menyara diri mereka dan keluarga," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kerja penghantar makanan bukanlah pilihan utama anak-anak muda selepas menamatkan pengajian namun sebahagiannya terpaksa melakukannya kerana dibuang kerja atau gagal dalam perniagaan.

"Bukan sedikit di kalangan mereka dibuang kerja. Majikan terpaksa menutup operasi akibat pendemik Covid-19. Ramai jugà yang terpaksa menutup perniagaan baru dibangunkan. Hutang keliling pinggang. Ada yang menjaga orang tua dan ada jugà isteri yang tidak bekerja.

"Di manakah letaknya hatibudi para Menteri? 1,684 orang maut. Ada anak kecil kehilangan ayah. Ada isteri yang sarat mengandung kehilangan suami. Ada ibu kehilangan anak yang sangat disayangi," katanya lagi.

Oleh itu, menurut Junaida, Kerajaan Perikatan Nasional yang lemah wajib ditolak oleh seluruh rakyat Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 15.

 

No comments: