Azmin gagal sebagai menteri MITI, sibuk mencatur politik - Johari Abdul

 


POSTED BY AMIR WRLR


Perdana Menteri (PM) Malaysia tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata "kita tak banyak wang lagi yang tinggal" sekiranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azmin Ali melakukan tugasnya dengan baik dalam menarik pelaburan asing (FDI).

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, kegagalan Azmin menarik FDI yang banyak menyebabkan ekonomi menjadi lembab dan kerajaan tidak berupaya mengumpul jumlah cukai yang secukupnya untuk memberi keselesaan kepada hidup rakyat.

Semua itu, kata Johari, disebabkan Azmin terlalu sibuk mencatur politik sehingga terlupa tugas utamanya sebagai menteri.

"Ini semua disebabkan 99% dari masa dihabiskan memikirkan politik sebab dia sendiri pun tak yakin akan terus jadi kerajaan untuk pilihan raya akan datang

"Jadi oleh kerana itu masa dia habis memikirkan tentang politik, yang sepatutnya memikirkan pembangunan usahawan

"Bagaimana memberi insentif-insentif supaya pelabur masuk dengan jumlah besar. Ini tidak berlaku kerana dia memikirkan masa depan dia saja," kata Johari.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah itu lagi, yang menjadi mangsa kelemahan kerajaan Perikatan Nasional ini adalah rakyat biasa yang kehilangan pekerjaan dan tidak berjaya pula mencari pekerjaan lain untuk menyara kehidupan.

Bagi Johari, PM Muhyiddin juga harus dipersalahkan dalam hal itu kerana melantik menteri yang tidak faham keutamaan dan lemah menjalankan tugas.

"Untuk Muhyiddin pula, bukan sahaja dalam hal-hal ekonomi (lemah) tetapi dari segi perundangan pun dia telah gagal kerana dia ingkar (sidang) Parlimen. Kedua dia tidak ada nombor mencukupi untuk jadi kerajaan

"Maka eloklah beliau letakkan jawatan secepat mungkin," katanya lagi.

Untuk rekod, Laporan oleh United Nations Conference on Trade and Development (Unctad) baru-baru ini menyatakan kadar pelaburan asing Malaysia merudum lebih dua pertiga kepada hanya AS$2.5 bilion pada tahun 2020, menjadikan ia penurunan yang paling dahsyat di rantau Asia Tenggara.