Monday, August 26, 2019

MEREKA YANG MALAS HADIR MESYUARAT TAK LAYAK JADI PEMIMPIN



Walaupun sudah diberi ingatan oleh Anwar Ibrahim agar semua pimpinan dapat menunaikan tanggungjawab kepada parti, Azmin Ali tetap tidak hadir dalam mesyuarat bulanan MPP PKR yang diadakan semalam.

Ini adalah ketidakhadirannya buat kali kelapan dalam mesyuarat MPP PKR sejak menang jawatan Timbalan Presiden pada November tahun lalu.

Selain tidak pernah menghadirkan diri dalam mesyuarat MPP, Azmin juga tidak pernah hadir dalam mesyuarat Biro Politik parti itu yang kedua-duanya dipengerusikan oleh Anwar selaku Presiden PKR.

Turut mengiringi Azmin tidak hadir dalam mesyuarat semalam ialah dua penyokong kuatnya, Zuraidah Kamaruddin dan Amiruddin Shaari.

Zuraidah ialah Naib Presiden PKR, manakala Amirudin adalah Ahli MPP.

Tidak ada alasan diberikan Azmin mengenai ketidakhadirannya kali ini, tetapi Zuraidah tidak hadir kerana menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PKR Selangor di Shah Alam.

Nampaknya, bagi Zuraidah menghadiri mesyuarat tahunan Wanita PKR lebih penting berbanding menghadiri mesyuarat MPP PKR yang mana beliau adalah Naib Presiden parti itu.

Amiruddin pula tidak hadir kerana ada dua program yang perlu dihadirinya iaitu merasmikan Mesyuarat Agung Wanita PKR Selangor di Shah Alam dan merasmikan mesyuarat PKR Cabang Batu.

Sama seperti Zuraidah, Amiruddin juga kelihatannya menganggap program parti peringkat negeri dan cabang lebih utama berbanding hadir mesyuarat peringkat pusat.

Bulan lalu, Amiruddin tidak hadir mesyuarat MPP kerana mendakwa terperangkap dalam kesesakan jalanraya.

Alahai.....

Walau apa pun alasan diberikan berhubung ketidakhadiran mereka dalam mesyuarat parti, melakukannya secara berulang-ulang dan ternampak seperti disengajakan, ia adalah perilaku paling buruk bagi seseorang pemimpin.

Seorang pemimpin harus sedar mereka dipilih oleh ahli parti untuk menjadi pemimpin. Disebabkan dipilih parti itulah mereka seterusnya menjadi Ahli Parlimen atau Adun dan kemudian dapat memegang jawatan menteri, menteri besar, timbalan menteri dan sebagainya.

Asasnya adalah parti. Kalau mahu dikira layak dan lebih baik, mungkin lebih ramai orang lain atau rakyat biasa yang lebih layak menjadi menteri dan menteri besar.

Tetapi, disebabkan mereka itu tidak aktif dalam parti dan tidak pula dipilih oleh parti, maka kebanyakan mereka itu tidaklah berpeluang duduk sebagai menteri dan menteri besar.

Pokoknya, partilah yang meletakkan seseorang di situ. Oleh itu, mereka yang bergelar pemimpin dan sudah ada jawatan besar dalam kerajaan, jangan mudah lupa diri dan lupa kepada parti.

Jika hari ini mereka diambil tindakan atau dibuang daripada parti, jawatan dalam kerajaan juga boleh gugur kerananya. Sistem kita ialah parti menguasai kerajaan.

Mereka yang gagal, malas atau sengaja enggan hadir mesyuarat parti adalah mereka yang tidak layak menjadi pemimpin. Juga mereka itu tidak layak diberikan jawatan dalam kerajaan.

Sebab itu, alasan tidak hadir mesyuarat parti kerana sibuk dengan urusan kerajaan tidak boleh diterima. Kedua-dua urusan parti dan kerajaan mesti dilaksanakan secara seimbang. Tiada alasan bahawa urusan kerajaan mesti didahulukan, lagi pun urusan parti bukannya setiap hari sebagaimana sibuknya menguruskan kerajaan.

Sebab itu juga, PKR dan semua parti sudah ada peraturan mengenai pentingnya hadir dalam mesyuarat. PKR misalnya, jika tiga kali tidak hadir tanpa sebab, kedudukan mereka akan tergugur secara automatik.

Disebabkan pentingnya mesyuarat parti itulah yang menjadikan peraturan sedemikian diwujudkan. Realitinya semua sedar bahawa partilah yang menentukan pembentukan kerajaan, kalau tidak tentulah peraturan seperti itu tidak ditetapkan.

Hanya dengan PKR bertegas menguatkuasakan peraturan itu, barulah semua pihak ada rasa hormat kepada parti yang telah memberikan mereka kedudukan serta kemasyhuran.

Sebaliknya, jika peraturan ini tidak benar-benar dikuatkuasakan,  akhirnya akan muncullah pemimpin yang hanya sibuk dengan parti ketika pemilihan dan musim perebutan jawatan diadakan saja, selebihnya mereka akan tampil sebagai golongan pemalas, pengelat dan kaki curi tulang dalam perjuangan. (Shahbudindotcom 26/08/2019)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers