Kerajaan PH tegas bela Orang Asli Kelantan
Isu Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang diserang wabak penyakit baru-baru ini nyata mendapat perhatian khusus dari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,
Dalam satu kenyataan Dr Wan Azizah membuat gesaan agar semua pihak memain peranan dalam menangani masalah masyarakat itu sekaligus memastikan ia tidak berulang.
“Kerjasama dengan kerajaan negeri terutama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Pegawai Jajahan Gua Musang perlu ditingkatkan untuk memastikan kebajikan dan masa depan Orang Asli Kuala Koh lebih terjamin,” katanya melalui satu kenyataan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Dr Wan Azizah sebelumnya mempengerusikan mesyuarat penyelarasan tindakan susulan ke atas isu Orang Asli Kuala Koh.
Pada Jun lalu, Kampung Kuala Koh dibiarkan kosong setelah lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Batek bertindak meninggalkan kampung asal mereka selepas berlaku kematian mengejut sejak sebulan lalu.
Polis mengisytiharkan Perkampungan itu sebagai zon merah susulan kematian 14 penduduk di kampung itu akibat jangkitan kuman dipercayai wabak batuk kering.
Sementara itu, hasil mesyuarat baru-baru ini juga menetapkan beberapa langkah bagi memastikan taraf hidup masyarakat itu boleh diperbaiki antaranya dengan Kementerian Kesihatan perlu meneruskan program vaksinasi, nutrisi dan penjagaan kesihatan kepada masyarakat tersebut.
“Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan perlu memastikan Projek Kelas Khas (ProKHAS) bagi Orang Asli suku Batek diwujudkan segera.
“Jabatan Pendaftaran Negara pula perlu memastikan semua Orang Asli di Kuala Koh sama ada yang baru Iahir atau golongan muda dan tua didaftarkan supaya mereka tidak ketinggalan dalam mendapat manfaat sebaga warga Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, beliau mahu JAKOA memainkan peranan lebih aktif bagi mengenal pasti peluang pekerjaan baru bagi membantu meningkatkan keupayaan ekonomi penduduk Orang Asli terbabit.
Pada Jun lalu, Dr Wan Azizah turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan kes pneumonia membabitkan masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Koh. – RF8 Media