*KENYATAAN MEDIA* SETIUSAHA AGUNG PKR

*KENYATAAN MEDIA*
_07 September 2017_

Image result for SAIFUDDIN NASUTION



1. Saya tiba semalam di Kuala Lumpur, pulang dari lawatan 6 hari di London setelah menghadiri mesyuarat dengan sdr Nurul Islam, Pengerusi Arakan Rohingya National Organisation. Saya juga mengadakan pertemuan dengan dr Dziauddin Sardar dan dr Anas Ali dari International Institute of Islamic Thought. Saya ke London atas jemputan mereka.

2. Sekembali dari London saya dihujani soalan apakah benar saya telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung KEADILAN. Saya memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini sebagai reaksi terhadap persoalan tersebut.

3. Walaupun berada di luar negara saya sering berhubung dengan pimpinan utama KEADILAN dan Pakatan Harapan. Pimpinan utama KEADILAN dan Pakatan Harapan amat maklum akan komitmen saya terhadap parti dan Pakatan Harapan. Saya terlibat dengan setiap keputusan parti dan keputusan Pakatan Harapan dan sudah tentu saya patuh dengan semua keputusan yang telah dibuat.

4. Khabar bahawa saya "meletak jawatan" dikaitkan dengan saya dikatakan"tidak puas hati" dengan arahan Dato Seri Anwar Ibrahim tentang"berunding dengan Pas"dan ekoran daripada itu saya dikecam dan akibatnya saya kecewa, adalah jelas ini satu adu domba daripada pihak yang tidak mahu melihat KEADILAN terus stabil dan Pakatan Harapan terus kuat.

5. KEADILAN telah berusaha hampir dua tahun mendekati dan menyantuni Pas. Pelbagai usaha dan ikhtiar telah dibuat. Siri-siri pertemuan telah melibatkan Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihanraya Pas. Pendirian saya ialah setiap usaha dan ikhtiar harus ada garis masanya supaya ada kepastian dan ini memudahkan semua pihak.

6. Usaha dibuat di sebalik keputusan muktamar dan Majlis Syura yang memutuskan hubungan dengan KEADILAN. Demikian KEADILAN menunjukkan jiwa besar demi mencapai kerjasama terbaik guna mendepani Umno/ Barisan Nasional pada pilihanraya umum ke 14. Rakyat dapat melihat dengan jelas usaha ini dan rakyat dapat melihat saban hari Pas menunjuk sikap dingin dengan KEADILAN dan Pakatan Harapan sebaliknya semakin lunak dengan Umno/Bn.

7. Di sebalik latar politik inilah Pakatan Harapan yang KEADILAN adalah komponen nya membuat keputusan untuk mengukuhkan kerjasama pakatan menghadapi pilihanraya umum ke14 dan tidak lagi bekerjasama dengan Pas.

8. Tatkala Dato Seri Anwar Ibrahim tampil dengan nota dari penjara, Pakatan Harapan telah membuat keputusan. Mengenali beliau secara dekat, Dato Seri Anwar Ibrahim seorang yang sangat menghormati setiap keputusan yang dibuat secara bersama dan tidak sukar untuk beliau faham kenapa Pakatan Harapan membuat keputusan tersebut. Tidak sukar juga dilihat setelah diusahakan demikian lama, PAS tetap memilih jalannya sendiri. Adalah lebih utama KEADILAN menumpukan sepenuh usaha dan tenaga membantu mengukuhkan Pakatan Harapan dan menerima hakikat Pas telah ada pilihannya.

9. Kenyataan ini saya keluarkan sejurus saya bercakap dengan Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menemani Dato Seri Anwar di mahkamah. Saya maklumkan bahawa komitmen saya bersama KEADILAN dan Pakatan Harapan dan khabar saya meletak jawatan adalah TIDAK BENAR. Kepada pihak yang berusaha mencipta khabar itu, menyebarkan dan kemudian merayakannya saya maafkan.


*DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL*
Setiausaha Agung KEADILAN
Parti KEADILAN Rakyat


No comments: