GEORGE TOWN, 7 SEPT: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mengecam keras pembunuhan dan pengusiran etnik Rohingya yang berlaku di Myanmar.
Justeru, kerajaan Myanmar tegasnya didesak supaya menghentikan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
“Kita lihat apa yang berlaku di Myanmar. Kita amat prihatin dan mengecam kezaliman yang berlaku ke atas kumpulan etnik Rohingya.
“Dan sudah tentu, kita berharap pembunuhan ini dapat dihentikan oleh kerajaan Myanmar.
“Ini adalah isu kemanusiaan. Bukan isu agama atau kaum. Perkara ini perlu dilihat dari segi kemanusiaan supaya pembunuhan dan pengusiran ini harus dihentikan,” katanya kepada media.
Sementara itu, satu laporan polis telah dibuat ekoran sebaran fitnah kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyokong tindakan kejam regim Myanmar ke atas etnik Rohingya.
Laporan itu telah dibuat Pegawai Penerangan Kepada Ketua Menteri, Major (B) Zaidi Ahmad di Balai Polis Jalan Patani, Daerah Timur Laut sebentar tadi.
Menurutnya, sebaran fitnah itu dikesan pada 5 September baru-baru ini menerusi laman Facebook Friends of PAS melalui dua akaun dengan nama Sharmine Iskandar dan Suhaimi Mie.
Fitnah yang memaparkan gambar Guan Eng dengan kenyataan fitnah berbunyi: “Tindakan Aung San Suu Kyi terhadap kaum Rohingya adalah tepat. Malaysia tiada hak untuk campur tangan dan dianggap mencabul urusan negara Myanmar”.
Dalam kenyataannya, Zaidi berkata fitnah tersebut pernah berlaku sebelum ini dan ia kembali berulang.
“Justeru, kita minta pihak polis bertindak ke atas individu-individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini,” katanya kepada media.