FBI: PEMANDU GANI PATAIL DITEMBAK SEBAGAI AMARAN SESIAPA YANG TERLIBAT DALAM 1MBD



PEMANDU Tan Sri Abdul Ghani Patail yang telah ditembak dan cedera minggu lalu didakwa sebagai amaran kepada bekas peguam negara itu supaya tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam siasatan skandal 1MDB.

Kenyataan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) itu dipetik oleh sumber berita Bloomberg, dalam laporan berita bertajuk "1MDB Stolen Funds Witnesses are scared to talk, FBI says" (Saksi-saksi kecurian dana 1MDB takut untuk bercakap, kata FBI).

FBI turut memetik laporan-laporan berita Malaysia berkenaan pegawai-pegawai tempatan yang telah ditangkap kerana berperanan di dalam menyiasat penyelewengan dana 1MDB, dan baru-baru ini pada 30 Ogos lalu, pemandu kepada bekas Peguam Negara, telah ditembak dan cedera kemungkinan sebagai amaran kepada bekas pendakwaraya itu agar tidak bekerjasama dengan Amerika Syarikat kata FBI.



Abdul Ghani dilapor telah membuka siasatan awal terhadap 1MDB menurut fail FBI, namun beliau kemudiannya telah diganti dengan peguam negara yang baru dalam tahun 2015.

Minggu lalu pemandu kepada bekas Peguam Negara dilaporkan cedera ditembak oleh dua lelaki di halaman rumahnya sendiri di sebuah rumah teres 2 tingkat di Taman Putra Ampang pada jam 8:30 pagi hari selasa.

Mangsa yang berusia 40 tahun bernama Mustafa, dilaporkan baru diambil bekerja sebagai pemandu persendirian Gani sejak bulan Januari lalu.

Sumber pihak polis yang dipetik oleh akhbar China Press berkata, ketika kejadian mangsa baru sahaja membuka pintu pagar rumahnya untuk keluar.

Bagaimanapun 2 penembak yang menaiki sebuah Motosikal itu tiba-tiba masuk ke halaman rumah mangsa dan berpura-pura bertanya arah sebelum mengeluarkan pistol dan menembak pehanya sebelum melarikan diri.

Akhbar itu melaporkan bahawa pihak polis masih menyiasat motif serta identiti dua penembak itu, dan sama ada mereka menyasarkan pemandu itu atau majikannya Gani Patail yang juga merupakan bekas Peguam Negara.

Sumber di tempat kejadian tidak menolak kemungkinan motif serangan itu bertujuan memberi amaran kepada pihak tertentu kerana jika mereka hendak membunuh mangsa lebih daripada satu das tembakan akan dilepaskan dari jarak dekat.