Bukankah ‘Langkah Kajang’ untungkan Azmin? – William
Seorang pemimpin kanan PKR mempersoalkan tindakan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya membangkitkan isu “Langkah Kajang” yang berlaku 3 tahun lalu, dengan berkata sebarang bantahan sepatutnya perlu diutarakan pada masa itu.
“Isu ini sudah lama, kalau pada waktu itu tidak setuju, masa untuk membahas pada waktu itu,” kata William Leong, ahli Parlimen Selayang yang melepaskan keanggotaannya dalam Biro Politik PKR baru-baru ini kerana tidak setuju dengan keputusan parti berunding dengan PAS.
Leong mengulas serangan terbaru oleh Latheefa terhadap Rafizi Ramli, yang menuduh ahli Parlimen Pandan itu menghasilkan cadangan “Langkah Kajang” secara sulit tanpa membawa perkara itu kepada perhatian pemimpin lain.
Langkah Kajang adalah usaha dipelopori Rafizi untuk memaksa pilihan raya kecil di DUN Kajang pada Mac 2014, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor kerana tidak sehaluan dengan dasar parti.
Rancangan asal adalah untuk meletakkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti MB dengan mencalonkan beliau di DUN Kajang, tetapi ia terbantut selepas sabitan liwat Anwar di Mahkamah Rayuan pada bulan sama.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kemudian dilantik menjadi calon untuk diangkat menggantikan Khalid. Bagaimanapun, nama Wan Azizah ditolak istana Selangor, yang kemudian memberi perkenan supaya Datuk Seri Azmin Ali dilantik sebagai MB baharu, keputusan yang menerima sokongan PAS.
Latheefa semalam berkata Langkah Kajang oleh Rafizi adalah punca pelbagai kemelut melanda PKR dan Pakatan Rakyat kerana ia tidak dipersetujui komponen lain dalam gabungan itu khususnya PAS.
Ditanya mengenainya, Leong berkata PKR tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu.
“Semua diumumkan pada waktu itu, saya juga tidak mahu pergi balik kepada perkara itu. Kita sudah bergerak ke hadapan,” katanya.
Leong mempersoalkan Latheefa yang mengkritik Langkah Kajang sebagai rancangan yang merugikan.
“Mengapa tidak baik, kerana dengan Langkah Kajang kita sudah ada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi menteri besar.
“Itu baik atau tidak baik?” soalnya.
Sementara itu, Leong menganggap perbalahan terbuka di kalangan pimpinan tertinggi PKR hanya di peringkat individu.
“Pada saya parti lebih penting daripada individu tertentu,” katanya, sambil menambah mereka yang terlibat adalah individu “kuat dan bijak”.
“Mereka tahu apa yang perlu dibuat.”
Leong berkata perbahasan terbuka adalah baik asalkan ia dijalankan secara berhemah.
“Kalau sudah menjadi serangan peribadi, ini memberikan satu imej kepada orang yang mengeluarkan perkataan itu.”